fbpx

Makan Malam Amal Untuk Dana Palestin

Makan Malam Amal Untuk Dana Palestin

Makan Malam Amal Untuk Dana Palestin

SHAH ALAM, 3 Februari 2010 — Biro HALUAN Palestin dengan kerjasama HALUANITA Pusat dan HALUANITA Selangor serta beberapa NGO lain yang terdiri dari Mawaddah, JIM, Jamae’, KISPA, AMAN Palestin, Dewan Pemuda Masjid dan PACE telah mengadakan Majlis Makan Malam Amal ‘Palestin Kamu Tidak Dilupakan’ di Grand Ballroom De Palma Hotel Shah Alam Selangor. Makan Malam Amal ini di adakan bertujuan mengutip dana untuk disumbangkan kepada Robitah Ulama’ Palestin dalam siri lawatan selama tujuh hari mereka ke Malaysia baru-baru ini.


Wakil Robitah Ulama’ Palestin yang hadir pada malam tersebut adalah Syeikh Hussein Saqar Al Awawidah, Syeikh Abu Ahmad dan Maher Ramli. Turut hadir pada malam tersebut adalah wakil-wakil NGO antaranya, Ustaz Darus Senawi Ali (Timbalan Presiden HALUAN Malaysia), Prof Madya Dr Nik Muktasim Ab Rahman (Yang Di Pertua HALUAN Selangor), Ustaz Soleh Saad (Imam Besar Masjid Putra, Putrajaya), Dato’ Safaruddin (MAWADDAH), Prof Dato’ Dr. Abu Azam Mad Yasin (Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej Teknologi Darulnaim) Dr. Zainur Rashid (Aktivis AMAN Palestin), En Halimi Safari (JIM) dan Ustaz Zikrullah (KISPA). 

Wakil NGO wanita yang turut hadir adalah Utazah Maznah Daud (MAWADDAH), Datin Noraini Mat Top (MAWADDAH), Pn Marzian Ahmad Nordin (JIM), Pn Alfiah Samingan (Ketua HALUANITA Pusat) dan Pn Salmah Yono (Ketua HALUANITA Selangor).

Ketua Biro HALUAN Palestin Tn Hj Noorazman bin Samsudin dalam ucapannya menyeru agar umat Islam memahami dan merasai bahawa perjuangan mempertahankan bumi palestin dan Masjidil Aqsa dari jatuh ke tangan Israel adalah kewajiban seluruh umat, bukan penduduk Palestin semata-mata.

Seramai 200 orang dermawan yang terdiri daripada golongan professional dan bukan professional telah hadir. Pihak penganjur menganggarkan jumlah dana yang terkumpul pada malam tersebut adalah sebanyak RM40,000.

Majlis ini dimeriahkan lagi dengan penjualan hasil kraf tangan wanita Palestin oleh ahli HALUANITA sebagai usaha membantu ibu-ibu tunggal dan anak yatim yang menjadi mangsa peperangan di Gaza.

Menurut keterangan wakil Robitah Ulama’ Palestin, dana ini akan digunakan bagi membiayai sara hidup dan perubatan ibu-ibu tunggal serta pendidikan anak-anak yatim mangsa kekejaman peperangan di Gaza yang dihimpit kemiskinan dan penderitaan.