fbpx

Majlis Perjumpaan Hari Raya HALUAN Selangor Disambut Meriah

Majlis Perjumpaan Hari Raya HALUAN Selangor Disambut Meriah

Majlis Perjumpaan Hari Raya HALUAN Selangor Disambut Meriah

SHAH ALAM, 11 Oktober 2009 — HALUAN Negeri Selangor telah berjaya mengadakan Majlis Perjumpaan Hari Raya Aidilfitri 1430H di Kompleks Taman Kesenian Islam, Shah Alam. Majlis yang bermula seawal 8.30 pagi ini dihadiri oleh ahli-ahli dan keluarga HALUAN Selangor beserta tetamu-tetamu jemputan. Anak-anak turut hadir memeriahkan suasana, di mana setiap mereka gembira riang apabila disambut dengan hadiah goodie bags.


Majlis yang diadakan di Dewan Auditorium, Komplek Taman Kesenian Islam, telah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh Qari jemputan iaitu Ustaz Mohd Shukri Ali, Finalis Akademi al-Quran 2006 yang juga merangkap Imam Masjid Negeri Shah Alam.

Dalam ucapan aluannya, YDP HALUAN Selangor Prof. Madya Dr. Nik Mu’tasim Nik Abd. Rahman antara lain memperingatkan ahli HALUAN akan kepentingan untuk mereka memiliki ciri-ciri anggota HALUAN yang dihajati – berakhlak, mendidik dan berbakti. Jelas beliau, HALUAN seharusnya menjadi medan untuk semua anggotanya menabur segala keupayaan dalam rangka untuk mendidik dan berbakti kepada masyarakat.

Di sebuah dewan yang berasingan, Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) telah mengadakan program khusus untuk anak-anak. Satu tayangan video animasi bertajuk “Saladin” turut diadakan. Disamping dapat menarik perhatian anak-anak dan melahirkan kegembiraan, program ini telah dapat memberi ruang kepada mereka untuk berinteraksi dan bermesra dengan sahabat-sahabat mereka yang dikenali sejak dari kecil lagi.

Acara kemuncak majlis perjumpaan ini adalah jamuan Hari Raya berkonsepkan gerai buffet. Ahli-ahli HALUAN dari setiap daerah di Negeri Selangor menyumbangkan gerai dan menu masing-masing. Majlis jamuan turut dimeriahkan lagi dengan persembahan dari kumpulan nasyid, termasuklah Kumpulan Miftahul Munir, Kumpulan Asy-Syifa’, Kumpulan X-Sawtul Fityan dan beberapa lagi kumpulan dari sekolah-sekolah angkat HALUAN di sekitar Selangor.

Satu kenangan manis buat anak-anak HALUAN apabila menerima sumbangan duit raya yang disampaikan oleh YDP HALUAN Selangor. Kegembiraan jelas terukir di wajah anak-anak, dan sudah semestinya mereka akan ternanti–nanti perjumpaan Hari Raya HALUAN pada tahun hadapan.