fbpx

Majlis Korban di Sabah Sabtu Ini

Majlis Korban di Sabah Sabtu Ini

Majlis Korban di Sabah Sabtu Ini

KUNAK, SABAH 25 Okt 2012 – Masyarakat Islam Sabah akan menikmati daging korban sumbangan orang ramai Sabtu ini, hari raya Aidiladha kedua, bila pasukan relawan HALUAN Malaysia akan melaksanakannya di Pusat Pembangunan Insan (KBI) HALUAN di sini.

Pasukan HALUAN Malaysia sudahpun berada di pantai timur Sabah untuk tujuan tersebut. Upacara korban tersebut akan berlangsung dari pukul 7.00 pagi sehinggalah tengahari setelah daging diedarkan kepada penduduk miskin dan jamuan makan sudah tersedia. Upacara itu akan diketuai oleh Naib Presiden 3 HALUAN Malaysia, Prof. Madya Dr Azizan Ahmad, dibantu oleh Setiausaha Kerja HALUAN, Encik Mohd Fadhil Hussin serta relawan-relawan HALUAN cawangan Sabah.

“Alhamdulillah, sumbangan rakyat tempatan di sini memampukan kita mengorbankan tiga ekor lembu di pusat ini di Kampung Kabog, Kunak. Yang kita sasarkan adalah golongan miskin Bajau Laut serta masyarakat setempat di sekitar ini. Tiga bahagian akan dikhaskan untuk kenduri manakala 18 bahagian lagi akan diagihkan sebagai daging mentah,” katanya kepada mediaHALUAN.

Selain acara sembelihan dan jamuan korban, kumpulan Nasyid PMI, Kg Kabog akan turut memeriahkan majlis sepanjang hari itu. Masakan akan dibuat secara bergotong-royong bersama masyarakat setempat untuk mengeratkan lagi silaturrahim. Selain daripada penglibatan individu tertentu, pihak Politeknik Kota Kinabalu turut menyumbangkan salah seekor daripada lembu tersebut sebagai korban.


Ikuti laporan kami seterusnya di laman web ini.