fbpx

Mahasiswa UIA Kuantan Bersama Intifadha 3

Mahasiswa UIA Kuantan Bersama Intifadha 3

Mahasiswa UIA Kuantan Bersama Intifadha 3

KUANTAN, 7 Nov 2015 — Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) UIAM Kuantan telah bergabung tenaga bersama ‘front’ mahasiswa yang terdapat di UIAM Kuantan untuk menjayakan kempen “IIUMKwithINTIFADHA” yang bermula dari 20 sehingga 23 Oktober 2015 yang lalu yang mensasarkan seluruh mahasiswa UIA Kuantan sebagai target utama kempen.

Kempen ini merupakan hasil kerjasama HALUANSiswa UIAM Kuantan bersama Students Representative Council (SRC), Ikram Siswa UIA Kuantan (ISUK) dan juga GAMIS Pahang. Objektif kempen ini adalah untuk menimbulkan kesedaran kepada mahasiswa tentang isu penjajahan Israel terhadap Palestin yang hingga kini belum menemui jalan penyelesaian. Selain itu, ia juga memberikan gambaran akan sokongan padu mahasiswa UIAM Kuantan terhadap kempen Intifadha 3 giat digerakkan seantero dunia dan pada masa yang sama juga memberi peluang kepada mahasiswa UIAM Kuantan untuk memberikan apa jua sumbangan yang relevan menerusi platform kempen yang disediakan.

Justeru, HALUANSiswa UIAM Kuantan tidak melepaskan peluang ini untuk turut mengembleng tenaga bagi menjayakan kempen ini. Jualan amal sepanjang kempen, telah dikendalikan oleh pihak HALUANSiswa seperti penjualan mafla, gelang kunci Palestin dan hebahan iklan melalui media sosial seperti aplikasi Whatsapp dan Facebook telah berjaya dilaksanakan. Tempahan barang-barang telah dihantar dari bilik ke bilik sebagai daya tarikan jualan dan hasil jualan amal tersebut telah selamat diserahkan kepada MyCare, wakil kutipan dana sepanjang kempen “IIUMwithINTIFADHA”.

Tambahan pula, pada 5 November 2015 yang lalu, pihak HALUANSiswa UIAM Kuantan juga turut menghantar wakil kelab iaitu Saudara Musthoffa Syawwal Ibrahim, pelajar Farmasi tahun ke-4, sebagai salah seorang ahli panel forum mahasiswa yang turut diwakili oleh setiap ‘front’ mahasiswa UIAM Kuantan. Forum Intifadha ini diadakan untuk memberi kesedaran kepada mahasiswa mengenai tanggungjawab pelajar membebaskan Al-Aqsa dan menjernihkan pemikiran mahasiswa bahawa pembelajaran di universiti bukan semata-mata untuk segulung ijazah tetapi untuk membantu bagi meninggikan Islam serta meruntuhkan sistem jahiliyah. Forum ini telah diadakan dengan jayanya di Mahallah Activity Center Khalid Al-Walid serta mendapat sambutan yang sangat baik dari mahasiswa UIAM Kuantan walaupun rata-ratanya sibuk dengan persiapan bagi menghadapi peperiksaan dan kuiz akademik.

Penglibatan secara sinergi serta kerjasama yang mantap antara HALUANSiswa UIAM Kuatan dan juga semua ‘front’ Mahasiswa UIAM Kuantan telah memberikan impak yang sangat positif terhadap penganjuran kempen “IIUMwithINTIFADHA” ini. Sekali gus, dapat mencetuskan kesedaran dan penglibatan secara serius di kalangan mahasiswa bagi menangani isu permasalahan ummah yang tidak berkesudahan ini.

Jutaan penghargaan diucapkan kepada SRC UIAM Kuantan dan ”front’ mahasiswa kerana sudi menjemput Kelab HALUANSiswa UIAMK untuk turun padang bagi membantu untuk menjayakan kempen yang amat bermakna ini. Moga Allah SWT menerima amal ini sebagai amal soleh.


Laporan oleh Maryam Kamilah Ahmad Sani,Setiausaha Kelab HALUANsiswa UIAM Kuantan.