fbpx

Mahasiswa Perlu Akhlak Mulia Dan Peduli Masyarakat

Mahasiswa Perlu Akhlak Mulia Dan Peduli Masyarakat

Mahasiswa Perlu Akhlak Mulia Dan Peduli Masyarakat

KAJANG, 7 Julai 2012 — Mahasiswa perlu mendampingi Islam bagi meningkatkan akhlak mulia dan seterusnya membuang sikap mementingkan diri serta perlu ambil peduli terhadap masyarakat. Usaha ini penting kerana Islam itu sendiri adalah sebuah agama kemasyarakatan.

Naib Presiden HALUAN, Profesor Madya Dr. Nik Mutasim Hj Nik Ab Rahman dalam ucapan beliau di Majlis Penutupan Konvokesyen ke-15 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) Ke-15 atau EKSTiVAL 15, menyeru kepada para mahasiswa agar mengubah sikap ke arah yang lebih progresif dan berwibawa dengan kehalusan Islam.

Majlis yang diadakan di Astaka Perdana KUIS itu turut dihadiri oleh Timbalan Rektor KUIS, Ustaz Imran Kamal Basah, staf akademik dan pengurusan KUIS, mahasiswa dan juga masyarakat pengunjung EKSTiVAL 15.

Memulakan ucapan beliau, Profesor Madya Dr. Nik Mutasim memanjangkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur EKSTiVAL 15 kerana memberi peluang kepada HALUAN Malaysia untuk bersama-sama dengan mahasiswa menjayakan majlis-majlis ceramah, pameran dan beberapa aktiviti lain yang berkaitan. Berikut adalah petikan ucapan beliau di majlis tersebut.

HALUAN adalah merupakan salah sebuah NGO yang sekarang ini cuba untuk mendampingi masyarakat dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Walaupun ditubuhkan sejak tahun 1988 dahulu, kami cuma bermula aktif dengan aktiviti kemasyarakatan sejak empat atau lima tahun yang lepas.

Salah satu fokus aktiviti kemasyarakatan HALUAN adalah dalam bentuk misi kemanusiaan. Kita bermula dengan misi kemanusiaan di Acheh pada tahun 2004 apabila berlaku bencana tsunami di sana. Kemudian kita ke Palestin, gempabumi di Pakistan dan juga China dan Indonesia, dan yang terakhir sekali kita menghantar doktor-doktor membantu pelarian rakyat Syria akibat perang saudara. Sesuai dengan motto HALUAN iaitu “berakhlak, mendidik dan berbakti”, ahli-ahlinya HALUAN terus bergerak tampil ke hadapan.

Kita menyeru kepada para mahasiswa sekalian supaya bila tamat pengajian nanti mereka akan turut terlibat dengan masyarakat, tidak kira dengan mana-mana NGO, asalkan mereka boleh memberi sumbangan kepada umat Islam khususnya. Islam, sepertimana yang kita fahami, adalah agama kemasyarakatan. Bukan sebagaimana sesetengah orang yang menganggap agama ini merupakan soal peribadi – itu pandangan yang tidak betul. Kalau sekiranya kita berfahaman sebegitu, maka sikap kita sebenarnya lebih kepada keakuan. Di dalam Islam, kita diajar dengan semangat kekitaan. Kalau di dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai “we attitude” dan bukan “I attitude”. Jadi kalau ada “I attitude” pada diri kita, kita perlu ubah kepada “we attitude”, sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud bahawa sebaik-baik manusia ialah orang yang paling banyak bermanfaat kepada sesama manusia.

Hari ini kita dapati umat Islam dalam keadaan yang cukup dhaif. Di merata-rata pelusuk dunia kita ketinggalan. Kita lemah dari sudut ekonomi, pendidikan, penguasaan ilmu, bahkan juga lemah dari sudut kerohanian dan sosial. Jadi realiti ini memerlukan kepada kita semua, khususnya mahasiswa yang melalui program pendidikan selama tiga atau empat tahun, untuk terlibat sama dalam usaha-usaha kemasyarakatan ini.

Dalam isu Palestin umpamanya, kita dapati sampai ke hari ini saudara-saudara kita di sana dizalimi. Ketika masyarakat Mesir sedang menyambut perlantikan Presiden baru mereka, masyarakat di Gaza dihujani dengan peluru-peluru dari jet-jet pejuang Zionis. Itu menunjukkan bahawa Zionis ini cukup bongkak dan sombong. Jadi kita tidak ada pilihan lain melainkan berusaha membangunkan kekuatan di kalangan umat Islam. Kekuatan itu bermula dengan kita semua. Kita perlu mendampingi Islam. Kita perlu tingkatkan peribadi dengan akhlak Islam, dan yang lebih penting lagi ialah dengan membuang sikap keakuan seterusnya membina rasa kepedulian kepada masyarakat. Ini penting kerana Islam itu adalah agama kemasyarakatan.

Kalau kita lihat kepada zaman Rasulullah SAW dahulu, Baginda mendidik para sahabat itu bukan sekadar untuk kepentingan diri sahaja, tetapi untuk peduli pada apa yang berlaku di dalam persekitaran.

Hari ini usaha-usaha kita menjadi lebih mudah dengan adanya perkembangan teknologi. Dengan hanya satu klik sahaja kita boleh mendapat maklumat dan perkembangan semasa yang berlaku di semua rantau dunia dengan cepat. Mahasiswa harus mempunyai kesedaran tentang apa yang berlaku kepada umat Islam. Bukan sekadar umat Islam tempatan, tetapi juga umat Islam serantau dan antarabangsa.

Isu yang paling penting hari ini ialah isu Palestin, sebab kita berhadapan dengan Zionis yang cukup zalim. Jadi saya menyerulah kepada saudara saudari supaya kita bangkitkan semangat dan keupayaan kita. Apa yang ada pada kita untuk kita berikan sumbangan? Ada di kalangan kita yang mungkin mahir menyampaikan ceramah atau berkomunikasi, maka kita beri sumbangan kita melalui ceramah untuk meningkatkan kesedaran supaya masyarakat kita sedar apa yang sedang berlaku di persekitaran mereka.

Begitu juga dengan masalah di Syria di mana masyarakatnya dizalimi, maka kita perlu juga prihatin kepada masalah ini. Jadi saya seru diri saya dan saudara saudari sekalian untuk tingkatkan kesedaran kita tentang hal ini dan mudah-mudahan insyaAllah kita diberkati oleh Allah SWT.

Yakinlah, bahawa apa sahaja yang kita sumbangkan untuk agama Allah SWT, maka Allah akan teguhkan kedudukan kita dengan dibuka ruang-ruang dan peluang-peluang kebaikan yang insyaAllah memberi manfaat kepada kita yang bukan sekadar di dunia tetapi juga di akhirat.


Laporan oleh Khairul Azman B Ahmad Abkari, MediaHALUAN.