fbpx

Mahasiswa Irbid Santuni Anak-Anak Yatim

Mahasiswa Irbid Santuni Anak-Anak Yatim

Mahasiswa Irbid Santuni Anak-Anak Yatim

IRBID, JORDAN 22 Feb 2014 – Kelab Siswa HALUAN Jordan dengan kerjasama Islamic Charity Center Society (ICCS) telah mengambil inisiatif untuk mengadakan program ramah mesra antara anak-anak yatim di Pusat Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Irbid bersama para penaja anak yatim Projek KHAYR (Kifalah Anak Yatim) dalam kalangan mahasiswa Irbid, Jordan.

Seramai 17 penaja termasuk ahli Kelab Siswa HALUAN Jordan dan 30 orang anak yatim yang terdiri daripada lelaki dan perempuan berumur di antara lima hingga 14 tahun, telah menjayakan program ini.

Menurut Pengarah program, Encik Muhammad Sheikh Zaki antara objektifnya adalah merapatkan ukhwah antara para penaja dan anak-anak yatim, menggalakkan dan memberi rangsangan kepada para mahasiswa untuk bersama membantu anak-anak yatim, dan memupuk rasa kasih sayang dalam kalangan mahasiswa.

Program bermula seawal pagi di taman tema permainan (Happy Time) bersebelahan Irbid Mall selama satu jam setengah. Pelbagai jenis dan bentuk permainan dilaksanakan secara bersama walaupun pada mulanya para penaja terasa kekok untuk bergaul dengan anak-anak yatim tersebut. Pelbagai respon gembira dan seronok diberikan oleh anak-anak yatim berkenaan ketika bermain bersama.

Setelah selesai sesi pertama di taman tema tersebut, para peserta bergerak menuju ke sebuah taman permainan awam (Hadiqah Muuassah A’mar Irbid). Sesi kedua ini dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh adik Muhammad dan bacaan hadith oleh adik Ahmad, kemudian disusuli dengan dendangan nasyid oleh beberapa anak yatim bagi menaikkan semangat para penaja.

Salah seorang penaja anak yatim, Cik Nor Hakimah Hardi, tahun 2 di bidang perubatan Jordan University of Science and Technology memberikan komentar yang positif dan menyatakan program pada kali ini amat menyeronokkan.

Perasaan kekok antara para penaja dan anak-anak yatim mula beransur hilang apabila sesi ice-breaking berbentuk suai kenal dijalankan. Kelihatan anak-anak yatim bersungguh dalam memperkenalkan diri masing-masing kepada para penaja, gelak tawa dan senyuman terukir pada wajah mereka bersama para penaja. Program diakhiri dengan sesi bergambar dan makan tengah hari tepat jam 12.30 tengahari.

Encik Wisam Arar, Pengurus Hal Ehwal Pelajar bagi anak-anak yatim menyatakan terima kasih kepada pihak HALUAN kerana menjayakan program ini dan berharap program–program berbentuk begitu dapat diadakan lagi.

Pengarah program dan ahli jawatan kuasa program mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ramah mesra ini. Program ini adalah salah satu program untuk ROAD TO KOBAR.


Laporan disediakan oleh Mohd Mukhlis Mohd Nasri, Aktivis Kelab Siswa HALUAN Jordan