fbpx

Madrasah Perkampungan Rohingya Disantuni

Madrasah Perkampungan Rohingya Disantuni

Madrasah Perkampungan Rohingya Disantuni

BUTTERWORTH, 11 Okt 2017 — HALUAN Cawangan Pulau Pinang telah menyerahkan sumbangan material untuk meringankan beban penduduk perkampungan Rohingya di Bagan Dalam di sini.

Sumbangan yang termasuk kipas dinding, tikar getah, kerusi plastik dan buku iqra diserahkan kepada Madrasah Zainun Naim di perkampungan berkenaan. Sumbangan peralatan tersebut telah disampaikan oleh Encik Ahmad Shukri Nordin, mewakili YDP HALUAN Cawangan Pulau Pinang, sesuai dengan motto HALUAN iaitu Berakhlak, Mendidik dan Berbakti. HALUAN ialah sebuah NGO yang aktif dalam kesukarelawanan dan pendidikan masyarakat di dalam dan luar negara. Relawan-relawan HALUAN telah ramai berkhidmat di negara-negara seperti Palestin, Syria, Somalia, Indonesia, Nepal dan lain-lain. Tugas yang utama ialah membuka medan untuk rakyat Malaysia menyumbang ke arah melaksanakan misi Islam Rahmat Ke Seluruh Alam.

Mengikut ketua komuniti Rohingya Perkampungan Bagan Dalam, Encik Nurul Islam Yusuf Jalal, jumlah pelajar di madrasah itu seramai 53 orang (lelaki dan perempuan) dari umur antara 4 tahun hingga 17 tahun di bawah bimbingan seorang ustaz juga dari Arakan. Nurul Islam sendiri berasal dari Myanmar dan telah tinggal di perkampungan itu lebih dari 35 tahun. Mereka semua berdaftar dengan UNHCR.

Madrasah tersebut telah diasaskan pada tahun 2005. Perbelanjaan pengurusan madrasah datangnya daripada sumbangan masyarakat Rohingya setempat dan orang ramai. Walaupun dalam keadaan dhaif, madrasah tersebut tetap berjalan seperti biasa mendidik penduduk seramai 2,000 orang atau 240 buah keluarga. Mereka bekerja di semua bidang yang diizinkan untuk saraan hidup.

Madrasah ini sentiasa memerlukan sumbangan daripada orang ramai. Sumbangan ikhlas anda boleh disalurkan terus ke akaun di bawah:-

Nama Akaun: Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Akaun No: 5622 6350 2611
Bank: Maybank

Sila email slip/resit sumbangan dengan tajuk [Educare4Rohingya] ke unit.kewangan@haluan.org.my


Laporan oleh Abdul Halim Khudri AJK Biro Misi Kemanusiaan HALUAN Pulau Pinang