fbpx

Lubnan Perlu Lebih US$ 8.2 Juta Untuk Krisis Kemanusiaan

Lubnan Perlu Lebih US$ 8.2 Juta Untuk Krisis Kemanusiaan

Lubnan Perlu Lebih US$ 8.2 Juta Untuk Krisis Kemanusiaan

LUBNAN, 13 Ogos 2020 – Lubnan memerlukan sekurang-kurangnya US$8.2 juta untuk membiayai aktiviti kemanusiaan dalam pelbagai sektor selepas lebih 300,000 rakyatnya terjejas akibat letupan maut di Pelabuhan Beirut, 4 Ogos lalu.

Itu anggaran yang dibuat Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), melibatkan pelbagai sektor, antaranya kesihatan (US$4.3 juta), bekalan air bersih (US$1.8 juta), pelajaran (US$1.05 juta), perlindungan kanak-kanak (US$550,000) dan kesukarelawanan (US$500,000).

Angka itu dilihat banyak pihak sebagai hampir mustahil untuk disediakan Lubnan memandangkan negara itu sudah lama dibelenggu krisis ekonomi, lebih-lebih lagi sewaktu penularan pandemik COVID-19.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 145 orang dilaporkan maut manakala lebih 5,000 cedera.

Gabenor Beirut, Marwan Aboud sebelum ini menganggarkan lebih 300,000 rakyat hilang tempat tinggal dan 80,000 daripadanya merupakan kanak-kanak.

Pelabuhan Beirut yang merupakan nadi ekonomi Lubnan musnah sekelip mata selepas berlaku letupan besar berpunca daripada pembakaran bahan ammonium nitrat seberat 2,750 tan yang disimpan tanpa pengawasan rapi selama enam tahun.

Letupan itu turut memusnahkan prasarana, bangunan serta rumah penduduk hingga sejauh 200 km.

Tiga hospital yang sebelum ini dipenuhi dengan pesakit COVID-19 kini dilimpahi dengan mangsa yang cedera akibat letupan tersebut.

Lebih memburukkan keadaan, tiga hospital itu turut mengalami kerosakan akibat letupan berkenaan.

Media juga melaporkan sekurang-kurangnya 34 buah sekolah rosak akibat tragedi berdarah itu.

Meskipun Lubnan dibelit krisis ekonomi dan politik yang tidak menentu, negara tersebut tidak pernah ketinggalan menyertai misi menyantuni rakyat Palestin dan Syria, yang dinafikan hak serta kebajikan mereka di tanahair mereka sendiri. Berpuluh kem pelarian warga Palestin dan Syria berada di Lubnan.

Justeru, tatkala Lubnan pula ditimpa musibah, HALUAN terpanggil untuk mengajak rakyat Malaysia untuk sama-sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban serta penderitaan yang ditanggung mangsa yang malang itu.

Anda juga boleh sertai kami dalam menyantuni semua mangsa letupan tersebut. Sebarang bantuan boleh disalurkan secara atas talian di pautan:

Rayuan Bantuan Kecemasan Untuk Lubnan

Thank you to all our donors, we have met our fundraising goal.

Sumbangan ikhlas tuan-puan juga boleh disalurkan ke akaun Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN (Maybank Islamik : 5622 6350 2611).


Laporan Zeanaaima Mohd Yusof