fbpx

Lepasan SPM – Jom Kita Ke HiMEGA 13 !

Lepasan SPM – Jom Kita Ke HiMEGA 13 !

Lepasan SPM – Jom Kita Ke HiMEGA 13 !

AYER KEROH, 4 April 2013 – Hijrah Menara Gading 2013 (HiMEGA 13) akan diadakan di Dewan Besar, Kampus Induk, Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada 12 hingga 14 April ini. Program tahunan ini telah dilaksanakan sejak tahun 2001 lagi dan tahun ini merupakan tahun ke-13 perlaksanaan HiMEGA di bawah Kelab Siswa HALUAN. HiMEGA 13 ini adalah anjuran kerjasama di antara Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Bertemakan “Nurturing ‘Alim Mujahid” yang bermaksud “Memupuk Ilmuan yang Mujahid”, program ini diharapkan memberi kesedaran mengenai kepentingan belajar dan beraktiviti bersungguh-sungguh semasa berada di alam IPT.

“Sudah ramai lepasan SPM yang memperolehi sepenuh manfaat daripada program HiMEGA kami. Sebagai mahasiswa dan mahasiswi, kami tahu apa yang ada dalam minda adik-adik lepasan SPM semua. Kerisauan, kebimbangan, ketidakpastian dan perasaan suka-duka bercampur-baur. Inilah tempat penenang dan penerusan halatuju. Jom ikuti kami. Adik-adik pasti takkan menyesal,” ujar Ali Izzuddin Bahran, Pengarah HiMEGA 13, seorang mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) .

Objektif utama HiMEGA 13 ialah mendedahkan peserta kepada kepentingan untuk menyambung pengajian sehingga ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan supaya menjadi mahasiswa yang cemerlang dalam semua aspek fakulti insan. Selain belajar, apakah lagi aktiviti sebagai mahasiswa? Mereka akan diperkenalkan kepada HALUANSiswa sebagai medan untuk berbakti dan berkhidmat kepada masyarakat kampus baik semasa damai mahupun semasa musibah menimpa negara. Di samping itu, peserta dapat mengenalpasti kursus dan kerjaya berdasarkan minat dan kelayakan masing-masing.

“Kami akan memberikan borang analisa diri kepada peserta untuk menilai tahap kesesuaian mereka kepada kursus yang mereka impikan. Kadangkala apa yang dihajati tidak sebenarnya mencerminkan potensi diri mereka. Mereka mungkin memilih kejuruteraan tetapi sebenarnya suadaya diri lebih menjiruskan kepada bio-teknologi, misalnya. Adik-adik ini tidak tahu. Maka kami akan membantu mereka. Kami akan membuka kaunter-kaunter khas di mana abang dan kakak dalam bidang tertentu boleh memberikan khidmat nasihat dan pengalaman yang sangat berguna untuk mereka bermuhasabah diri,” jelas beliau lagi.

Yuran penyertaan HiMEGA 13 ini hanyalah RM 50 seorang untuk program tiga hari dua malam termasuk penginapan dan makan-minum. Peserta lelaki akan menginap di Kolej Kediaman Emerald Park, manakala peserta perempuan akan menginap di Kolej Kediaman Seri Utama. Pihak UTeM akan menyediakan pengangkutan pergi dan balik dari Kolej Kediaman ke Dewan Besar.

HiMEGA 13 ini mensasarkan 400 orang peserta sahaja dari seluruh pelusuk negara. Penyertaan adalah terbuka kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012. Lepasan STPM yang berminat juga boleh memohon. Selain pemilihan kursus, antara program menarik lagi adalah penerangan mengenai career pathway, survival di dalam kampus, teknik belajar dan skor, motivasi minda serta pemantapan rohani sebagai bekalan masuk ke kampus.

Beberapa orang lepasan SPM tahun 2011 memberikan pendapat mereka mengenai HiMEGA tahun lepas. Ahmad Haris Mohd Zamrin berkata, “Saya rasa program ini amat bermanfaat dan memberi pendedahan awal kepada saya untuk melangkah ke alam IPT yang lebih mencabar”.

Menurut Nur Syifa Nabila Ahmad pula, “Daripada program HiMEGAlah kami diajar bagaimana nak didik hati-hati ini”.

Turut merasai hasil HiMEGA adalah Mohd Abdul Azhim Saharin. Beliau berkata, “HiMEGA ini sangat bermakna buat diri saya kerana saya dapat mengetahui mengenai pilihan jenis-jenis IPT di Malaysia”.

Nor Syakirah Mohd Ridzwan pula berkata program ringkas itu membantunya untuk memahami dan mengetahui tentang bidang-bidang pembelajaran yang ada bersesuaian dengan pencapaian SPMnya. “Di samping itu, kita sebagai lepasan SPM akan lebih fokus dengan minat ke arah mana, bidang-bidang yang boleh diceburi dan macam mana laluan terbaik untuk cemerlang. Kita tidak mahu lulus sahaja tetapi ingin tahu macam mana hendak cemerlang diri di IPT nanti.”

HALUANSiswa berharap seramai mungkin lepasan SPM 2012 akan menyertai program penuh manfaat ini agar HiMEGA 13 mampu membantu mereka menjadi mahasiswa yang terbaik di kalangan yang terbaik di dalam universiti kelak.

Tempat adalah terhad. Untuk mendaftar, sila klik di SINI.


Laporan Abdullah Khairi Mohamad Asri
Setiausaha, Hijrah Menara Gading 2013