fbpx

Legasi Tan Sri Muhammad Ali perlu dikembangkan

Legasi Tan Sri Muhammad Ali perlu dikembangkan

Legasi Tan Sri Muhammad Ali perlu dikembangkan

BANDAR BARU BANGI, 31 Okt 2017 — HALUAN hari ini menerima berita pemergian tokoh korporat dan pembangunan usahawan negara, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, dengan penuh kesedihan.

Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali, 70, meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara, Kuala Lumpur, pada jam 3:30 petang tadi dan telah selamat dikebumikan di Taman Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Ketua Biro Ekonomi HALUAN, Rosli Adam, dalam kenyataan beliau kepada MediaHALUAN menyebut bahawa Allahyarham menjadi salah seorang tokoh aspirasi utama usahawan HALUAN. “Beliau banyak membantu dalam program-program pembangunan usahawan, terutama sekali dalam seminar dan konvensyen anjuran Biro Ekonomi,” sebut Rosli.

Allahyarham yang terkenal sebagai ikon “jihad ekonomi” dalam memajukan prinsip perniagaan Islam telah berjaya menerajui beberapa syarikat dan pertubuhan ternama termasuk Johor Corporation (JCorp), Waqaf An Nur Corporation Bhd (WANCorp) dan juga Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).

Lulusan Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya ini pernah dianugerah sebagai Tokoh Maal Hijrah pada tahun 2007.

Di bawah pimpinan beliau selama 28 tahun, JCorp berjaya memiliki 280 anak syarikat bernilai RM 14 bilion, termasuk rangkaian perniagaan di Singapura, Brunei, Kemboja dan India.

KPJ Healthcare, sebuah lagi anak syarikat JCorp, mempunyai hospital pakar di 25 cawangan seluruh negara.

Manakala WANCorp, institusi waqaf korporat yang pertama ditubuhkan di Malaysia, mempunyai aset bernilai lebih RM800 juta.

Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada kita. “Allahyarham adalah seorang yang penuh dengan semangat dan wawasan, sukar untuk dicari ganti. Kita harapkan ilmu yang beliau curahkan kepada masyarakat, terutama golongan usahawan, dapat dikembangkan demi pembangunan ummah,” kata Rosli.

HALUAN mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang dikasihi Allah SWT. Semoga jasa dan legasi yang beliau wariskan menjadi amal soleh di sisi Allah SWT.


Laporan mediaHALUAN