fbpx

Lebih Seribu Berhimpun di MTP Ke-28

Lebih Seribu Berhimpun di MTP Ke-28

Lebih Seribu Berhimpun di MTP Ke-28

JITRA, KEDAH, 29 Apr 2017 – Dengan semangat kesukarelawanan yang tinggi, seramai 120 orang perwakilan serta 1,260 pemerhati terdiri daripada ahli-ahli HALUAN telah menghadiri Mesyuarat Tahunan Perwakilan (MTP) HALUAN ke-28 di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini dari 28 hingga 30 April.

Tema MTP kali ini “MEMPERKUKUH ORGANISASI, MEMBANGUN KHAIRA UMMAH” menjadi teras panduan gerak kerja ahli-ahli untuk mencapai visi dan misi organisasi HALUAN seterusnya mampu mencetuskan semangat dan keazaman yang lebih tinggi untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang DiPertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Dr. Yusri Mohamad. Beliau di dalam ucapannya telah menyatakan bahawa dakwah ummah itulah yang menjadi agenda kebimbangan utama dalam minda Rasulullah SAW.

“Maka, adalah tidak salah kita turut rasa bersusah-payah dan berhabis-habisan untuk sama-sama merealisasikan apa yang ada dalam minda baginda SAW. Kita perlu bersikap terbuka dan berkawan dengan sesiapa saja sebagai daie serta bersedia menghulurkan tangan untuk membantu dalam kerja-kerja dakwah. Kita tiada pilihan dalam urusan dakwah ini walaupun pada diri kita terasa masih banyak kekurangan atau kelemahan,” pesan beliau kepada kontinjen perwakilan dan peserta MTP kali ini.

Katanya lagi, janganlah terlalu bimbang akan cabaran daripada musuh, bertepatan dalam surah al-Anfal ayat 73 yang bermaksud; “dan orang-orang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah itu, nescaya akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.”

Sebelum itu, majlis telah diserikan dengan upacara pemeriksaan perbarisan pasukan Briged HALUAN sebagai mengalukan ketibaan dif-dif kehormat, diikuti dengan alunan bacaan ayat Al-Qur’an oleh Ustaz Anas Abdul Hadi. Ini diikuti dengan nyanyian penuh bertenaga lagu Negara Ku dan lagu rasmi HALUAN.

Ucapan aluan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana merangkap Setiausaha Agung HALUAN, Sr. Mohd Sabbri Md Yudin. Beliau mengalu-alukan kehadiran seluruh perwakilan dan pemerhati agar menyambung dan mengukuhkan tali persaudaraan sesama mereka.

Ini disusuli dengan ucapan tuan rumah yang penuh bersemangat daripada Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman. Beliau menegaskan dalam memacu ke arah membangunkan khaira ummah, amatlah perlu kepada komitmen dan gabungan pemikiran serta kesungguhan dari semua pihak samada pihak dalaman mahupun luaran.

“Perkara yang merupakan satu manifestasi yang boleh dibanggakan yang diberikan kepada NGO seperti kita adalah apabila YADIM bersedia untuk sama-sama menggembleng usaha, saling ta’awun bagi meningkatkan ketaqwaan dalam rangka kerja-kerja dakwah,” katanya.

Turut diserikan dalam majlis perasmian ialah pelancaran buku Camp De Calais, sebuah buku himpunan kisah pengalaman kesukarelawanansalah seorang siswa HALUAN, Muhammad Izzat Ibrahim Shamjuddin yang melakarkan pengalaman beliau berkhidmat kepada pelarian mangsa perang Syria yang berada di Perancis.

Seterusnya adalah penyerahan dua buah tesis Doktor falsafah daripada pelajar-pelajar tajaan HALUAN diwakili oleh Encik Bilal Maher Abdul Rahman. Tesis pertama oleh Dr. Hani Rafiq Hamid Awad, kuliyah Fiqh dan Ushulul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa yang bertajuk “Peruntukan Banduan Dan Tahanan Dalam Perundangan Islam Dan Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa : Model Realiti di Palestin.” Tesis beliau telah mendapat anugerah tesis terbaik peringkat universiti.

Kedua, Dr. Sharef Amin Muhammad Abushamalla, kuliyah Akademi Islam, Universiti Malaya dengan tesis yang bertajuk “Pembangunan Bandar dan Seni Bina Kota Baitul Muqaddis Di Tengah-Tengah Perkembangan Islam : Tahun 637 – 750M.”

Majlis MTP kali ini bermula pada hari Jumaat dengan forum perdana bertajuk “Pembangunan Khaira Ummah Dalam Konteks Malaysia”. Ahli Panel forum terdiri daripada Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman, Ustaz Salleh Saad dan Datuk Ustaz Muhd Zaiemuddin Osman serta dikendalikan oleh Ustaz Anas Mokhtar.

Pada hari kedua pula, pembentangan kertas kerja 1 bertajuk “Keperluan Memperkukuhkan Organisasi Dalam Menghadapi Cabaran Semasa” disampaikan oleh Ustaz Omar Salleh. Kertas kerja 2 pula disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Raqab Abou Melih Mohamed Solimen, bertajuk “Keperluan Memperkukuhkan Organisasi Dalam Menghadapi Cabaran Semasa.”

Di sebelah malamnya pula adalah acara kemuncak iaitu ucapan dasar oleh Presiden HALUAN. Hari terakhir mesyuarat pada hari Ahad menyaksikan perbahasan terhadap ucapan dasar oleh para perwakilan negeri.

Di luar dewan, beberapa buah kelab di bawah HALUAN membuka booth pameran dan jualan mereka. Kelab Kesihatan HALUAN menyediakan pemeriksaan kesihatan fizikal dan mata, manakala Kelab HALUAN Fitrah pula mempamer serta mengundang derma untuk projek Pusat Dakwah Mualafnya di Kuala Ketil, Kedah. Terdapat juga pelbagai gerai jualan barangan, makanan dan perkhidmatan bagi memeriahkan lagi suasana MTP. Program khusus untuk anak-anak kecil dan remaja turut disediakan berasingan bagi membolehkan ibubapa mereka lebih menumpu kepada mesyuarat yang sedang berjalan.

Laporan Nurul ‘Izzah Baharudin
Wartawan mediaHALUAN