
Lebih 3,500 Penduduk Gaza Terima Juadah Berbuka di Awal Ramadan
GAZA, 4 MAC 2025 – Kedukaan merana akibat menjadi sasaran serangan bertalu-talu selama 15 bulan oleh tentera rejim zionis Israel tidak sedikit pun melunturkan semangat penduduk Gaza menyambut kedatangan bulan Ramadan dengan penuh harapan dan kesyukuran. Ketabahan luar biasa mereka dalam menghadapi segala ujian ini memberi inspirasi kepada kita semua walaupun perasaan duka dan trauma masih menghantui mereka.
Di tengah-tengah kesusahan dan sumber kelangsungan hidup yang sangat terhad serta kehilangan banyak kemudahan asas, HALUAN Malaysia melalui kerjasama dengan Sabasun HyperRuncit Sdn Bhd dan pasukan relawan Gazze Destek Organization telah menyediakan juadah berbuka puasa di Kem Abu Arif yang terletak di Salahuddin Street, Gaza Tengah. Dalam agihan bantuan iftar fasa pertama itu, seramai 1,786 penduduk yang terpaksa berlindung di khemah-khemah sementara yang dibina di kawasan rumah mereka yang telah musnah telah menerima juadah berbuka yang sangat dinantikan pada hari pertama Ramadan.
Semalam pada hari ketiga Ramadan, bantuan fasa kedua dilaksanakan untuk 1,785 orang lagi yang tinggal di Deir Al Balah, juga dalam wilayah Gaza Tengah.
Serangan udara tentera Zionis yang berterusan hampir meranapkan seluruh Gaza, menyebabkan kebanyakan penduduk kehilangan tempat tinggal dan mengalami krisis kemanusiaan yang sangat serius. Walaupun gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 19 Januari memberi peluang kepada mereka untuk kembali ke kawasan asal, namun banyak rumah yang telahpun musnah dan kehidupan mereka masih dalam ketidaktentuan.
Dengan suasana yang begitu mencabar, HALUAN Malaysia memohon kepada masyarakat prihatin untuk menyumbang kepada kempen Sejuta Barakah Ramadan (SBR). Sumbangan anda amat bermakna untuk menyediakan juadah iftar dan memastikan penduduk Gaza dapat menjalani kehidupan seharian dengan lebih mudah. Dalam masa yang penuh kesulitan ini, setiap bantuan yang kita hulurkan mampu memberikan kekuatan dan harapan kepada mereka terus bertahan di bumi Gaza yang masih penuh dengan ketidaktentuan.
Selain juadah berbuka, HALUAN Malaysia juga akan menyampaikan pek makanan untuk keperluan sahur serta membina sekolah-sekolah sementara untuk memastikan pendidikan anak-anak Gaza tidak terhenti di tengah konflik yang berpanjangan.
Marilah bersama-sama kita meringankan beban saudara-saudara kita di Gaza. Sumbangan anda boleh disalurkan melalui laman web rasmi kami di www.barakahramadan.com.
Sumbangan boleh juga disalurkan melalui akaun berikut:
Nama akaun: Tabung Palestin HALUAN
No. akaun: 5644 9020 8528
Bank: Maybank Islamic Berhad
Rujukan: SBR6-Iftar





Laporan Bahagian Media dan Komunikasi Korporat HALUAN