fbpx

Lebih 180 Pelajar Ikuti Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009

Lebih 180 Pelajar Ikuti Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009

Lebih 180 Pelajar Ikuti Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009

PENGKALAN CHEPA, 25 Disember 2009 — Seramai lebih 180 orang pelajar yang baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti program Kem Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009 yang dianjurkan bersama oleh HALUAN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD.) 


Upacara perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Keluarga dan Pembangunan Masjid (KESUMA)  JAKIM,  Tuan Haji Ghafani Awang Teh, dalam satu acara penuh kenangan di Dewan Utama KTD, Pengkalan Chepa.

Turut bersama di majlis tersebut adalah Presiden HALUAN yang juga merangkap Ketua Eksekutif KTD, Dr Haji Abdullah Sudin Abd Rahman, dan juga barisan kepimpinan HALUAN Pusat.

Melalui penyampaian ucaptamanya, Tuan Haji Ghafani telah menekankan tentang isu gejala sosial yang berlaku di kalangan remaja. Beliau menegaskan tentang peranan setiap individu dalam menangani masalah tersebut, di samping program-program yang telah dijalankan kerajaan sebagai inisiatif penyelesaian. Beliau turut berterima kasih dan memuji usaha mulia yang dilakukan oleh HALUAN dengan kerjasama JAKIM dalam menjalankan program seumpama Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ini bagi mereka yang tidak berkesempatan atau tidak berpeluang mengikutinya.

Manakala Dr Haji Abdullah Sudin pula menegaskan tentang kepentingan pembentukan remaja masa kini selaku bakal pemimpin pada masa hadapan. Menurut beliau, keseimbangan yang menitikberatkan aspek aqidah, syakhsiah, ilmu dan kemahiran menjadi teras kejayaan bagi sesebuah bangsa dan negara. Dr Haji Abdullah Sudin turut berterima kasih kepada pihak JAKIM di atas sokongan yang diberikan sepanjang menjalankan program yang julung kali diadakan ini.

Terdahulu, para peserta telah berjaya mengikuti sesi orientasi sejak 22hb Disember. Melalui sesi orientasi ini, para peserta telah dilatih dengan persiapan minda untuk mengikuti program intensif sepanjang 47 hari ini, di samping berkenalan dan membina persahabatan sesama mereka.

Menurut Pengarah Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja 2009 yang juga merupakan Setiausaha Agung HALUAN, Tuan Haji Mohd Ghani bin Salleh, progam ini akan berlansung sehingga 7hb Februari 2010. Antara tujuan utama program ini adalah untuk membina jatidiri peserta dengan pendedahan kepada ilmu kemahiran pengurusan, komunikasi dan berorganisasi. Diharapkan dengan jatidiri yang terbina dari program ini dapat membina kepimpinan pewaris di kalangan pelajar.

Terdapat sembilan modul yang dirancang untuk kursus ini, antaranya ialah modul anjakan paradigma, kemahiran insan dan profesional, kemahiran kepimpinan kemasyarakatan, kemahiran khidmat masyarakat, keusahawanan, penulisan, pertanian, perikanan dan bengkel, kemahiran asas kewanitaan, celik komputer dan kecergasan fizikal dan rekreasi.