fbpx

Lebih 170 bakal mahasiswa sertai HIMEGA 2009

Lebih 170 bakal mahasiswa sertai HIMEGA 2009

Lebih 170 bakal mahasiswa sertai HIMEGA 2009

Kajang, 27hb Mac 2009 – Seramai lebih 170 pelajar lepasan SPM telah menyertai Program Hijrah Menara Gading (HIMEGA) 2009 dari 27hb hingga 29hb Mac lalu. Program tahunan anjuran Kelab Siswa HALUAN Malaysia (HALUANSISWA) kali ini telah diadakan di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS,) Bandar Seri Putra, Kajang.


Bertemakan “Ke Arah Mahasiswa Rabbani,” program tahun ini telah dapat menarik penyertaan pelajar lepasan SPM dari pelbagai sekolah di Semenanjung Malaysia. Mereka merupakan bakal-bakal pelajar yang akan meneruskan pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi yang akan bermula tidak lama lagi.

Menurut Pengarah HIMEGA 2009, Sdr Anaqi Ahmad Saleh, objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang realiti pembelajaran dan kehidupan sebagai mahasiswa di institusi pengajian tinggi. “Diharapkan dengan pendedahan ini mereka akan dapat belajar dengan cemerlang dan mengelakkan dari terjebak kepada unsur negatif, di samping memanfaatkan sepenuhnya segala peluang yang ada ketika berada di universiti. Mereka bukan saja didedahkan kepada panduan kecemerlangan akademik, bahkan juga kepetingan untuk cemerlang dalam sahsiah,” jelas Sdr Anaqi.

Antara penceramah yang telah berkongsi pengalamannya adalah seorang pensyarah dari Pusat Pemikiran dan Tamadun Islam UiTM Arau, Ustaz Ali Irfan Jamaluddin. Peserta-peserta juga sangat bertuah kerana dapat menerima panduan dan nasihat berharga daripada Encik Nur Muhammad Muhamad Jamil, seorang graduan Universiti Malaya, dan Puan Amirah Ahmad Zain, graduan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kedua-dua mereka, yang juga merupakan pasangan suami-isteri, adalah merupakan penerima anugerah Pelajar Cemerlang Peringkat Ijazah dari universiti masing-masing.

Bagi memberi panduan kepada peserta untuk memilih haluan kerjaya mereka dengan lebih jelas, HIMEGA 2009 turut mengadakan sesi Forum Perkongsian Kerjaya. Alhamdulillah dengan forum ini para peserta telah dapat mendengar pandangan dan bersoal-jawab bersama tiga orang profesional, iaitu Dr Zamrin Mohd Dimon, seorang pakar bedah jantung dan paru-paru, En Khalid Al-Walid Mustafa Kamil, seorang peguam, dan Ustaz Ismail Abdullah, seorang pensyarah dalam bidang syariah.

Pengisian “Sharing Moment” bersama-sama pelajar jemputan dari pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan merupakan acara kemuncak yang dinanti-nantikan oleh para peserta. Mereka merupakan pelajar jemputan dari Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang, Universiti Teknologi Malaysia Skudai, Universiti Pertanian Malaysia Serdang, Kolej Teknologi Darul Naim Kota Bharu dan Universiti Teknologi MARA Arau. Antara lain, para peserta telah didedahkan kepada realiti pembelajaran dan cabaran di tempat pengajian masing-masing.

Diharapkan agar semua peserta dapat membawa pulang bersama mereka panduan dan nasihat berguna untuk dimanfaatkan ketika mereka meneruskan pengajian kelak. HIMEGA 2009 sudah tentu dapat memberi persediaan yang baik bagi mereka untuk belajar dengan cemerlang di samping menjadi pelajar yang bersahsiah mulia dan dapat berbakti kepada keluarga dan masyarakat.