
Lebih 15,000 Bakal Terima Manfaat Sejuta Barakah Ramadan 6.0
BANDAR BARU BANGI, 6 Feb 2025 – HALUAN sekali lagi membuka peluang kepada masyarakat untuk merebut keberkatan Ramadan menerusi program Sejuta Barakah Ramadan (SBR) 6.0 bagi tahun keenam berturut-turut sejak tahun 2020.
Setiap bulan Ramadan, program ini telah memberi manfaat kepada lebih 5,000 keluarga asnaf dan mereka yang memerlukan, termasuk ibu tunggal B40, anak yatim, golongan miskin, mualaf, pelarian, orang asli serta mangsa peperangan terutamanya di Gaza dan Syria. Tahun ini, SBR 6.0 menyasarkan bantuan kepada lebih 15,300 orang penerima manfaat.
Dalam satu majlis pelancaran awal SBR 6.0 di ibu pejabat HALUAN, Pengarah Program, Dr. Mohammad Hazimi Hamzah menjelaskan bahawa tujuan utama program ini adalah untuk menggalakkan umat Islam merebut keberkatan bulan Ramadan khususnya dengan membantu golongan yang memerlukan. Selain penyebaran bahan ilmiah dan panduan Ramadan di media sosial, SBR 6.0 juga menyediakan kemudahan bagi masyarakat untuk menghulurkan bantuan secara dalam talian.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, kempen utama SBR 6.0 adalah menaja iftar, menghulurkan pek makanan serta bantuan sara hidup. Selain itu, kami juga berusaha untuk menjayakan inisiatif pendidikan dan pembinaan masjid serta kemudahan awam melalui sedekah jariah dan wakaf,” jelas beliau.
SBR 6.0 turut memberi perhatian khusus kepada saudara-saudara kita di Gaza. Sebagai kesinambungan usaha-usaha yang telah dilakukan, HALUAN akan mengagihkan juadah berbuka puasa dan pek makanan kepada mereka serta memastikan mereka mempunyai bekalan makanan dan minuman untuk berbuka puasa dan bersahur. Projek pembinaan sekolah sementara untuk anak-anak Gaza juga akan diteruskan melalui kempen sedekah jariah dan wakaf.
Dr. Mohammad Hazimi menambah, “Kami sangat mengalu-alukan kerjasama masyarakat termasuk masjid, sekolah dan juga badan korporat dalam usaha kebajikan ini. Ramadan adalah kesempatan terbaik bagi memastikan saudara kita tidak melalui bulan suci ini dalam kelaparan berterusan atau hidup dalam serba kesusahan.“
Orang ramai boleh melayari laman sesawang www.barakahramadan.com untuk maklumat lanjut dan menghulurkan sumbangan.
Semoga Ramadan kali ini memberi lebih makna kepada seluruh umat Islam. Setiap bantuan yang dihulurkan akan memberi kebaikan kepada penderma dan juga penerima kerana ia akan mendatangkan rahmat, keampunan dan keberkatan daripada Allah SWT. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad, Ibn Hibban, dan Al-Hakim: “Sedekah itu dapat menghapuskan dosa sebagaimana air dapat memadamkan api.“








Laporan Nur Farhana Abdul Pata
Setiausaha SBR 6.0