fbpx

Lawatan Remaja Berintegriti Dedah Kehidupan Kampus

Lawatan Remaja Berintegriti Dedah Kehidupan Kampus

Lawatan Remaja Berintegriti Dedah Kehidupan Kampus

BANGI, 10 Jun 2009, — Seramai lebih 70 orang pelajar telah mendapat pendedahan awal kepada kehidupan di kampus dalam satu lawatan ke Kolej Za’aba di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM,) Bangi. Lawatan yang dianjurkan oleh Kelab Guru HALUAN dengan kerjasama Pusat Kokurikulum Pulau Pinang ini berlansung selama 4 hari, iaitu dari 6 hingga 9 Jun.


Cikgu Shapie b. Hashim yang juga merupakan Ketua Biro Motivasi dan Kaunseling HALUAN Pulau Pinang telah mengetuai rombongan ini. Menurut Cikgu Shapie, objektif utama program lawatan ini diadakan adalah untuk mendedahkan peserta kepada kehidupan sebenar sebagai seorang mahasiswa di universiti, seterusnya melatih mereka untuk lebih bersedia menghadapi cabaran sebagai pelajar di peringkat yang lebih tinggi. Beliau juga berharap agar peserta akan lebih berintegriti, berdisiplin dan bermotivasi dalam kehidupan mereka sebagai pelajar.

Peserta lawatan bertolak dari Masjid Seberang jaya dari jam 9:30 pagi, dan tiba UKM pada jam 5 petang. Mereka diiringi oleh beberapa orang guru, termasuk 6 orang dari Kelab Guru HALUAN.

Baki hari pertama lawatan mereka dilengkapkan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh kem komandan iaitu Ust Fazlon Ab Rahim, Ketua Biro Latihan HALUAN Pulau Pinang. Sejurus selepas itu, para pelajar telah dapat mengikuti ceramah Pengenalan Diri yang disampaikan oleh Tn Hj Mustafa Kamil, seorang motivator HALUAN. 

Hari kedua lawatan mereka dimulai dengan solat subuh berjemaah di surau Kolej Za’ba dan diiringi dengan zikir mathur. Selepas bersarapan, pelajar berkumpul di Tapak Dataran Kolej Za’aba untuk aktiviti kembara UKM yang akan diketuai oleh Dr Azizan b. Ahmad, Naib Presiden 3 HALUAN Malaysia yang juga merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Sains UKM. Pelajar berjalan kaki mengembara mengenali UKM termasuk tempat-tempat seperti perpustakaan, Pusanika, Pusat Islam dan makmal sains.

Acara hari kedua lawatan mereka diakhiri dengan slot motivasi kerjaya dan dialog yang dikendalikan oleh Kelab Siswa HALUAN (HaluanSiswa) dan syarahan bertajuk “Alim mujahid” yang disampaikan oleh En Solahuddin b. Shuib, Pengerusi HaluaSiswa yang juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia.

Seterusnya pada hari ketiga lawatan mereka, para peserta dibawa melawat Institut Integriti Malaysia (IIM.) Mereka telah dapat berkenalan dengan pegawai-pegawai IIM dan bersoal-jawab tentang program integriti. Selesai lawatan mereka ke IIM, rombongan berkunjung ke Pusat Sains Negara dan Perkampungan Kraftangan. Bagi mengambil manfaat sepenuhnya dari lawatan ini, setiap kumpulan pelajar diberi tugasan untuk malam kesenian.

Pada sebelah malamnya para pelajar menyampaikan persembahan mereka dalam satu sesi menjamu selera dengan sate Kajang.

Pada hari terakhir lawatanmereka, para pelajar berpeluang mendirikan qiammullail dan muhasabah diri seawal pukul 4.30 pagi. Selepas solat subuh dan tazkirah, taklimat perjalanan hari terakhir disampaikan oleh kem komanden.

Rombongan ini seterusnya bertolak ke Putrajaya dan bersarapan di Masjid Putra. Peserta berpeluang untuk merakamkan kenangan di Masjid Putra bersama Tuan Imam Besar dalam sesi ucapan kunjungan dan makan tengahari.

Mereka bertolak balik ke Masjid Seberang Jaya pada jam 1.00 tengahari, dan alhamdulillah sampai pada jam 7.15 malam. Semoga semua peserta dan pengiring mendapat manfaat sepenuhnya daripada lawatan ini.