fbpx

Lawatan Mahabbah Presiden HALUAN Malaysia ke Kuching Sarawak

Lawatan Mahabbah Presiden HALUAN Malaysia ke Kuching Sarawak

Lawatan Mahabbah Presiden HALUAN Malaysia ke Kuching Sarawak

KUCHING — Presiden HALUAN Malaysia, Prof Madya Dr Abdullah Sudin bin Abdul Rahman yang turut diiringi oleh Setiausaha Agung, Haji Mohd Ghani bin Salleh dan Penolong Setiausaha Agung, Haji Saadan bin Haji Omar telah mengadakan lawatan mahabbah di sini selama empat hari bermula pada 25 hingga 28 November.


Lawatan ini bertujuan untuk mengunjungi serta menjalin kerjasama dengan beberapa NGO Islam di Sarawak dan agensi jabatan kerajaan negeri. Antara NGO dan agensi yang sempat dikunjungi termasuk Harakah Islamiah (HIKMAH), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Islamic Information Centre (IIC). Mereka juga turut mengambil peluang menziarahi tokoh dakwah Tuan Haji Ayub Abdul Rahman dan melawat Pusat Darul Falah BINA-HIKMAH.

Ziarah Tuan Haji Ayub Abdul Rahman

Rombongan pimpinan HALUAN turut mengambil kesempatan untuk mengunjungi Tuan Haji Ayub Abdul Rahman di rumah beliau di Kuching sebelum solat Jumaat. Bekas Paderi Besar yang pernah berkhidmat di Gereja St. Augustine of Canterbury, Frankfurter Jerman ini melafazkan syahadah pada tahun 1978 dengan disaksikan dan dibantu oleh Ketua Menteri Sarawak pada masa itu, Tun Patinggi Abdul Rahman Yaacob. Tuan Haji Ayub kini giat berdawah serta mendidik saudara-saudara baru.

Pusat Darul Falah BINA-HIKMAH

Pimpinan HALUAN telah berpeluang untuk melihat sendiri Pusat Darul Falah BINA–HIKMAH di Batu 12, Jalan Kuching-Serian yang dibina sekitar tahun 1970an. Ianya merupakan salah satu bukti tinggalan sejarah perkembangan Islam di Sarawak semasa pimpinan bekas TYT Negeri Sarawak dan bekas Ketua Menteri Sarawak, Ybhg Tun Patinggi Abdul Rahman Yaakob. Beliau merupakan tokoh pemimpin yang telah banyak membantu usaha perkembangan dakwah di Sarawak.

HALUAN Malaysia Turun Padang

Kunjungan mahabbah yang julung kalinya ke sini adalah sebahagian daripada usaha HALUAN Malaysia untuk turun padang bersama masyarakat Islam di sekitar Kuching. Seiringan dengan itu, Presiden HALUAN turut menyampaikan kuliah maghrib dan kuliah subuh di lima buah masjid.

Kuliah Maghrib disampaikan di Masjid Al-Barakah BDC Kuching pada hari Khamis, Masjid Darul Ibadah Semariang Lama pada hari Jumaat dan Masjid al-Taqwa Kampung Pinang Jawa, Gita pada hari Sabtu.

Kuliah subuh pula disampaikan di Masjid Ikhwan Islam Taman Sukma dan Masjid Darul Aqsa di Kampung Batu Kawa.

Penghargaan

HALUAN Malaysia dengan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas penerimaan, layanan baik dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak sepanjang lawatan mahabbah pimpinan HALUAN Malaysia ke Kuching.

Ucapan terima kasih tidak terhingga ditujukan kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif  HIKMAH, En Alwi Haji Morshidi serta Ketua Bahagian Dakwah HIKMAH, Ustaz Abdul Rahman Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perhubungan Awam (PASA) JAIS, Ustaz Wan Shaifuddin Wan Madihi dan Pengurus Pengislaman YADIM Zon Sarawak, Encik Awang Dolhadi Awang Mat.

HALUAN Malaysia turut menghargai kerjasama dan layanan baik pengerusi dan imam Masjid Al-Barakah, Ustaz Nasri serta Imam Ustaz Hashim Man dan Ustaz Abu Zaid al-Hafiz dari Masjid At-Taqwa. Begitu juga kepada pengerusi Masjid Ikhwan Islam, imamnya Ustaz Tarmizi al-Hafiz dan pengerusi Masjid Darul Aqsa dan imamnya Ustaz Sulaiman Pawi.