fbpx

Kursus JDK 2014 Tamat di Seluruh Negara

Kursus JDK 2014 Tamat di Seluruh Negara

Kursus JDK 2014 Tamat di Seluruh Negara

jdk-tutup-01SHAH ALAM, 3 Jan 2015 – Majlis penutup Kursus Jati Diri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) anjuran HALUAN Malaysia yang tamat di Zon Tengah pada 31 Disember lepas sekaligus menandakan tamat dengan rasminya kursus berkenaan di empat zon seluruh negara.

Tiga lagi zon yang tamat serentak adalah Zon Utara di Perlis, Zon Timur di Kelantan dan Zon Selatan di Johor. Zon Timur ditutup beberapa hari lebih awal disebabkan ancaman banjir. Seramai 300 peserta telah menyertai JDK 2014 kali ini yang bermula pada 13 Disember selama tiga minggu.

Majlis perasmian penutupan JDK 2014 telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden HALUAN Malaysia, Profesor Emeritus Dato’ Dr Abu Azam Mohd Yasin. Dalam ucapannya, beliau menganggap semua lepasan JDK terbaru dan lampau sebagai bakal pemimpin yang mampu mengubah masyarakat agar mentaati perintah Allah SWT.

“Ada lebih 400,000 lepasan SPM tahun ini dan mereka akan mencari halatuju pembelajaran masing-masing. Mereka perlu didikan yang betul agar tidak tersasar lalu jatuh ke kancah hina seperti gejala merokok, dadah, ketagihan alkohol, judi, penglibatan lucah, seksual dan sebagainya yang boleh memalukan agama dan keluarga serta mengundang bala. Ini berpunca daripada pegangan hidup yang longgar dan jauh daripada hidayah Allah SWT. Anda lulusan JDK berperanan besar dalam mengajak mereka agar kembali menjadi muslim sejati,” pesan beliau.

Prof. Abu Azam menambah lepasan JDK harus bergabung dengan seniors HALUANSiswa semasa di kampus nanti untuk mendapat kekuatan melaksanakan amanah islah ini secara berkumpulan.

“Sebab itu kita adakan enam modul teras dalam kursus JDK ini. Ini perlu agar pemuda-pemudi kita bersedia untuk menggalas tugas mendidik masyarakat sejak di universiti lagi sebagai mahasiswa yang berakhlak Islami, matang lagi berwibawa. Saya juga ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kami yang tidak terhingga kepada pihak JAKIM, YADIM, serta Kolej Teknologi Darulnaim yang bersama-sama menjayakan kursus JDK kali ini,” ujar beliau.

Enam modul di bawah JDK itu adalah Anjakan Paradigma, Kemahiran Insan & Profesional, Kemahiran Kepimpinan Kemasyarakatan, Kemahiran Khidmat Masyarakat, Kemahiran Asas Kewanitaan, dan Kecergasan Fizikal & Rekreasi. Prof. Abu Azam sekaligus merasmikan majlis penutupan kursus JDK 2014 untuk seluruh negara.

Sementara itu, Pengarah 1 JDK Zon Tengah 2014, Ir. Megat Saidi Nik Ngah dalam ucapan beliau mengajak para peserta untuk meneruskan kesinambungan hubungan erat mereka selepas memasuki IPT nanti. Beliau sendiri selaku pensyarah universiti menceritakan bagaimana ibubapa mereka telah memilih JDK sebagai medan latihan awal pra-universiti untuk anak-anak mereka. Seharusnyalah lulusan JDK ini meneruskan usaha murni berbakti kepada masyarakat bermula dengan mengujudkan suasana mendidik jiwa agar selesa hidup di bawah naungan Islam.

“Masuk IPT nanti kamu akan diterjah dengan cabaran dan godaan yang mendatang. JDK ini menjadi bekalan dan benteng untuk kamu menjatikan diri agar tidak hanyut dek suasana yang tidak soleh. Jangan terpengaruh dengan suasana persekitaran. Bergabunglah dengan abang-kakak HALUANSiswa di kampus kamu nanti untuk perolehi kekuatan. Sertailah mereka untuk membaiki masyarakat warga kampus dan amnya,” pesan beliau.

Ir. Megat Saidi juga mengucapkan berbanyak terima kasih serta penghargaannya kepada semua ahli-ahli jawatankuasa penggerak JDK di seluruh negara, sukarelawan HALUAN amnya, pemuda-pemudi HALUAN serta HALUANSiswa.

Majlis penutup tersebut diserikan dengan upacara penyampaian hadiah dan sijil. Kumpulan Syabab terbaik jatuh kepada Kumpulan 1 Sepakat. Kumpulan Nisa’ dimenangi kumpulan 4 Mujahidah Izzah. Anugerah peserta terbaik syabab dimenangi Muhammad Turahim; nisa’ dimenangi oleh Sharifah Haneesah Syed Hamid. Anugerah peserta harapan syabab dimenangi Khairul Nasir Khairul Azmi serta nisa’nya oleh Farah Najwa Muhammad Rashid.

Untuk susulan kursus JDK 2015, nantikan pengumumannya di laman web rasmi HALUAN ini. Pendaftaran secara online akan dibuka.

“Berakhlak, Mendidik, Berbakti”


Laporan mediaHALUAN