fbpx

Kunjungan Hormat ke UNHCR

Kunjungan Hormat ke UNHCR

Kunjungan Hormat ke UNHCR

KUALA LUMPUR, 20 Nov 2015 – HALUAN telah melakukan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) Malaysia di Kuala Lumpur pada 19 November lalu untuk membina hubungan dua hala dalam soal kemasyarakatan.

Wakil HALUAN diketuai Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN,Dr. Baharudin Suri serta Setiausaha Kerja Biro Relawan HALUAN, Encik Umar Ismail, telah disambut oleh Pegawai Kanan Program UNHCR, Encik Mohamed Shoman.

Mereka telah memperkenalkan HALUAN kepada beliau dan aktiviti-aktiviti HALUAN secara umumnya dengan fokus utamanya iaitu bidang pendidikan, kebajikan sosial dan bantuan kemanusiaan. Dr Baharudin menyatakan hasrat HALUAN dalam jangka waktu terdekat adalah menyantuni pelarian Rohingya yang ada di Malaysia dari segi kebajikan, kesihatan dan pendidikan.

Encik Mohammed mengalu-alukan hasrat HALUAN ini sebagai sebuah NGO yg prihatin perihal pelarian. Beliau menyebut ada sekitar 140,000 pelarian Myanmar di Malaysia daripada pelbagai kumpulan etnik yang mana hampir 60,000 adalah etnik Rohingya. Daripada itu, hanya lebih 50,000 yang berdaftar dan memiliki kad UNCHR. Beliau menyatakan ada pelarian yg sudah lebih 20 tahun tinggal di Malaysia dan memasuki keluarga generasi kedua. Mereka tinggal bertebaran di seluruh Malaysia dengan majoritinya di Lembah Kelang dan Pulau Pinang.

“Masalah utama yang mereka hadapi ialah kediaman, pekerjaan, pendapatan, kesihatan dan pendidikan anak-anak. Lebih 30,000 anak-anak mereka adalah dalam kategori kanak-kanak yang memerlukan pendidikan,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, hanya 30% kanak-kanak Rohingya yang pergi ke sekolah yang ada, lebih kurang 120 buah yang dibina oleh beberapa NGO dengan kurikulum yg disesuaikan untuk mereka. Cuma ada lima buah sekolah Rohingya di peringkat menengah. Pihak UNCHR turut membantu dan berkerjasama dengan beberapa buah NGO dalam bidang pendidikan.

Dalam pertemuan ringkas itu, Dr Baharudin melahirkan hasrat agar UNCHR dapat membantu HALUAN dalam menyantuni mereka sambil bertindak sebagai pemudah cara dalam aktiviti yang bakal dilaksanakan. Encik Mohamed pula berharap HALUAN akan lebih memberikan tumpuan kepada aspek kesihatan dan pendidikan dan mereka bersedia untuk berkerjasama.

Encik Umar berharap dengan program dan projek yang bakal dilaksanakan nanti, akan membuka satu era baru kerjasama antara UNCHR dan HALUAN dengan penglibatan lebih ramai sukarelawan HALUAN.


Laporan Unit mediaHALUAN