fbpx

Kunjungan Hormat Aktivis Pembela Uyghur

Kunjungan Hormat Aktivis Pembela Uyghur

Kunjungan Hormat Aktivis Pembela Uyghur

BANDAR BARU BANGI, 2 Ogos 2019 – HALUAN telah dikunjungi oleh President of East Turkistan Australian Association Inc, (ETAA)  Encik Nur Muhammad Majid Turkistani, seorang aktivis Hak Asasi Masyarakat Uyghur yang tertindas di China.

ETAA ditubuhkan sejak 1992 demi menarik perhatian dunia terhadap penindasan etnik dan keagamaan yang berlaku di sana. 

Di dalam pertemuan itu, beliau telah berkongsi pengalaman yang menyentuh tentang tekanan aqidah terhadap etnik Muslim Uyghur. Dunia amnya menyedari apa yang berlaku di bumi Xinjiang itu, namun kelesuan media antarabangsa tentang penindasan oleh kerajaan China komunis ini  adalah sesuatu yang amat dikesali, menurut Nur Muhammad yang juga seorang peguam.

HALUAN turut bersetuju bahawa usaha-usaha mengangkat isu ini di peringkat perundangan antarabangsa perlu diteruskan meskipun pentas itu sehingga kini belum mengiktirafnya. Ini termasuklah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sehingga kini belum ada perbahasan tentang isu penindasan etnik Uyghur. 

Turut hadir adalah delegasi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang diketuai oleh Presidennya, Mohamad Raimi Ab Rahim.

“Ketika dan saat ini, emosi membara, ratapan yang keterlaluan, menagih pembelaan dan apa sahaja ekspresi atas ujian penyiksaan dan pencabulan hak kemanusiaan etnik Uyghur bukanlah satu penyelesaian. Anda wajib menyusun struktur etnik Uyghur yang masih ada di luar kawasan bergolak dengan membangunkan sistem pendidikan kepada setiap peringkat umur, kanak-kanak hinggalah yang tua serta menggembleng usaha ekonomi yang mantap ‘Organize Your Community’,” demikian saranan Timbalan Presiden HALUAN, Prof. Emeritus Dato’ Abu Azam Md Yassin, kepada Nur Muhammad.

Prof. Abu Azam menambah, dengan menumpukan aspek pendidikan kepada semua peringkat umur etnik Uyghur, akhlak dan jatidiri peribadi setiap daripada mereka bakal menjadi unggul dan lebih fokus dengan kehidupan sebagai mukmin.  HALUAN sangat positif bahawa ikatan persaudaraan serta ikatan aqidah ini bakal menjadi kekuatan yang bakal mengubah lanskap peradaban dunia seluruhnya. Beliau berharap agar ummah ini terus bersama dalam setiap gerak kerja yang disepakati dan bermaaf-maafan dalam perkara yang menjadi khilaf. 

___
Laporan mediaHALUAN