fbpx

Kriteria Amal Yang Terbaik

Kriteria Amal Yang Terbaik

Kriteria Amal Yang Terbaik

Marilah kita sama-sama perteguhkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan terus التزام dan patuh kepada titah perintah Allah, suruhan dan tegahanNya.

Marilah kita terus bersyukur kehadrat Allah s.w.t kerana memberi kesempatan lagi kepada kita untuk terus berada di dalam HidayahNya dan dapat meneruskan amalan dan عبودية kepada Allah s.w.t.

Kita telahpun diperingatkan Allah s.w.t bahawa setiap masa dan setiap keadaan kita didalam ujian bagi mencapai darjat insan yang terbaik amalannya. Firman Allah s.w.t di dalam ayat 2 Surah al Mulk, bermaksud:

“ Allah yang menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji kamu, siapakah di kalangan kamu yang terbaik amalan. Dan dialah (Allah) Maha perkasa lagi Maha Pengampun. “

أبو على الفضيل بن عياض telah ditanya tentang ayat أحسن عملا di dalam ayat tersebut. Maka beliau berkata “ أحسن العمل أخلصه وأصوبه “ – ‘ terbaik amalan itu adalah penuh keikhlasan dan betul amalan itu ‘

Kemudian beliau ditanya lagi (ما أخلصه وما أصوبه ؟ ) ‘ apakah maksud penuh keikhlasan dan betul amalan itu ? ‘ Beliau menjawab :

ان الله لا يقبل العمل ما لم يكن خالصا صوابا ، فاذا كان صوابا ولم يكن خالصا لم يقبل ، واذا كان خالصا ولم يكن صوابا لم يقبل ، واخلاصه أن يكون لله وصوابه أن يكون على السنة .

‘Sesungguhnya Allah tidak menerima amalan yang tidak ada keikhlasan dan tidak betul. Sekiranya amalan itu betul tetapi perlaksanaan tidak ikhlas, maka tidak diterima. Demikian juga sekiranya perlaksanaannya ikhlas, tetapi amalan tidak betul, maka tidak juga diterima. Keikhlasan maksudnya dilakukan semata-mata kerana Allah s.w.t . Dan betul amalan maksudnya itu mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.‘

Seseorang itu disukat dan dinilai ilmu, iman dan amalan yang lahir daripada keimanan tersebut. Dan amalan pula disukat dan dinilai sejauh mana mencapai darjat أحسن عملا.

Terbaik amalan yakni penuh keikhlasan dan betul amalannya, yakni ikhlas semata-mata kerana Allah dan mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w.

Di dalam al Quran al Karim terdapat banyak ayat yang menyeru dan mengajak kepada amalan di tahap ( الأحسن ) – terbaik. Antaranya firman Allah dalam ayat 55 Surah az Zumar, bermaksud:

“ Hendaklah anda semua ikut sebaik-baik (panduan hidup) diturunkan kepada anda semua daripada Allah s.w.t “

Dan firman Allah s.w.t lagi di dalam ayat 17 – 18 Surah az Zumar, bermaksud:

“ Maka berilah berita gembira kepada hamba-hambaKu (hamba-hamba Allah) yang penuh perhatian mendengar perkataan-perkataan (perintah Allah) , lalu mereka mengikut sebaik-baiknya. Mereka itulah orang yang telah diberi Hidayah oleh Allah s.w.t. Dan mereka itulah orang-orang yang beraqal sempurna “

Bahkan di dalam al Quran, Allah s.w.t memerintah supaya menolak السيئة (keburukan) dengan cara terbaik, di dalam ayat 34 Surah Fussilat, bermaksud:

“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia. “

Demikian juga Allah s.w.t melarang mendekati / menggunakan hartabenda anak-anak yatim melainkan dengan cara yang terbaik. Firman Allah s.w.t di dalam ayat 152 Surah al An’am, bermaksud:

“Dan janganlah kamu hampiri (gunakan) hartabenda anak yatim melainkan dengan ara yang terbaik (untuk mengawal dan mengembangkannya) sehingga ia baligh (dewasa serta layak mengurus harta bendanya sendiri ) “

Oleh itu setiap Mukmin sewajarnya rasa terpanggil untuk sentiasa melaksanakan semua amalan dan semua perkara dalam bentuk yang terbaik, bahkan Rasulullah s.a.w telah bersabda :

عن شداد بن أوس ، ان رسول الله (ص) يقول : ان الله كتب الاحسان على كل شئ فاذا قتلتم فأحسنوا القتلة واذا ذبحتم فأحسنوا الذبحة وليحد أحدكم شفرته وليرح ذبيحته .

Maksudnya : Daripada Syadad bin Aus bahawa Rasulullah s.a.w bersabda : Sesungguhnya Allah telah menentukan (memfardhukan) “الأحسان “ dalam semua perkara. Jika kamu membunuh maka bunuhlah dengan cara yang terbaik dan jika kamu menyembelih, maka sembelihlah dengan cara yang terbaik. Tajamkanlah pisau sembelihan dan berilah kerehatan kepada binatang yang disembelih itu “

(Hadis riwayat Imam Muslim).

Asal makna kalimah “ كتب “ mengandungi makna wajib dan fardhu kerana itu kebanyakan ulama’ menjelaskan bahawa “الأحسان “ terbaik di dalam amalan menurut kacamata Islam adalah sesuatu yang fardhu yang ditentukan oleh Allah s.w.t ke atas orang-orang yang beriman.

Lebih jelas lagi tafsiran “الأحسان “ di dalam عبودية kepada Allah telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w di dalam hadis yang panjang, hadis “ متفق عليه “ Daripada Abi Hurairah r.a menceritakan tentang Jibril a.s datang berjumpa Rasulullah s.a.w, bertanya tentang Islam, Iman dan ‘ihsan’. Apabila ditanya tentang احسان, maka Rasulullah s.a.w menjawab

‘ أن تعبد الله كأن نك تراه, فان لم تكن تراه فانه يراك ‘

maksudnya “Hendaklah anda beribadah kepada Allah seolah-olah anda melihatNya, dan jika anda tidak melihatNya pun maka (yakinlah) Allah s.w.t melihat anda.”

Semoga kita mampu melahirkan tindakan amal yang terbaik dan diterima oleh Allah s.w.t., insyaAllah.

Petikan isi penting dari Khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Ustaz Hj Omar Hj Salleh