Kreativiti Pelajar Terserlah Dalam Kem Minda Bestari Perlis
TUNJUNG, 21 Mac 2009 — Seramai 121 pelajar menyerlahkan kebolehan dan kreativiti mereka dalam Kem Minda Bistari (RimBA) yang telah diadakan di Maahad Tarbiyah Islamiyyah Perlis dari 19 hingga 20 Mac lalu. Kem tersebut yang julung kali diadakan di negeri Perlis telah dikhususkan kepada pelajar sekolah rendah yang berumur antara 9 hingga 12 tahun.
Seperti lazimnya, peserta telah melalui pelbagai modul bina insan dalam bentuk ceramah, latihan dalam kumpulan, permainan dan aktiviti luar. Peserta juga dapat mengikuti aktiviti Educational Games dan ekspedisi mendaki Bukit Tunjong. Kebolehan dan kreativiti peserta begitu terserlah, terutama sekali dalam sesi persembahan dalam kumpulan.
Yang menariknya dalam kem tersebut, peserta telah didedahkan dengan permasalahan Palestin serta mengenali tokoh pejuang di Palestin, Sultan Solahuddin al-Ayyubi. Pendekatan yang menarik dan sesuai dengan usia mereka membuatkan peserta teruja untuk memahami apa yang diketengahkan.
Turut hadir menjayakan kem tersebut adalah Penasihat Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Cikgu Ghazali Saad, dan juga wakil HALUANITA, Puan Khairiah.
HALUAN mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan juga 41 orang ahli KeARAH yang menjadi relawan sebagai fasilitator dan urusetia program. Peserta dan ibubapa ternyata begitu teruja dengan program RimBA ini. Menurut Cikgu Ghazali, ramai ibubapa mencadangkan agar kem seumpama ini terus diadakan di masa akan datang kerana pengisiannya bagus dan memberi banyak manfaat kepada anak-anak mereka.