fbpx

Korban Somalia & Palestin: Misi Bantuan Kemanusiaan & Amanah HALUAN Berlepas

Korban Somalia & Palestin: Misi Bantuan Kemanusiaan & Amanah HALUAN Berlepas

Korban Somalia & Palestin: Misi Bantuan Kemanusiaan & Amanah HALUAN Berlepas

SEPANG, 21 Oktober 2012 – HALUAN Malaysia telah melepaskan dua pasukan dari KLIA menuju Somalia dan Palestin hari ini untuk menunaikan amanah korban rakyat Malaysia di negara-negara tersebut.

Pasukan pertama menuju Somalia di ketuai oleh Encik Mohd Jamil Muda berlepas dari KLIA ke Nairobi jam 9.30 malam membawa bantuan kemanusiaan dan amanah korban rakyat Malaysia untuk saudara-saudara kita di Somalia sebanyak 696 bahagian. Manakala pasukan kedua di ketuai oleh Dr. Syed Muhammad Haleem Syed Hassan bertolak pada pukul 10.00 malam dari KLIA ke Kaherah membawa bantuan dan amanah korban rakyat Malaysia di Palestin sebanyak 33 bahagian.

Sebelum bertolak pasukan bantuan dan korban di Somalia diberikan taklimat oleh Dr. Baharudin Suri selaku Ketua Biro Kemanusiaan HALUAN kepada tiga orang wakil HALUAN ke sana iaitu Encik Mohd Jamil Muda , Ustaz Hussien Azeemi Abdullah Thaidi dan Encik Irwan Affendi Md Naim. Taklimat di Pejabat HALUAN Pusat di Bandar Baru Bangi tersebut telah memberikan mereka penerangan lengkap dan jelas serta tugasan setiap relawan supaya mereka mendapat gambaran sebenar di lapangan dan tahu apa yang harus mereka lakukan semasa aman mahupun kekacauan.

Somalia dan Kenya sekarang ini menjadi lapangan yang agak merbahaya kepada para petugas kemanusiaan. Beberapa siri pengeboman dan pembunuhan telah berlaku di Nairobi dan kawasan sekitarnya sejak empat bulan yang lalu di mana masing-masing pihak saling tuduh-menuduh di antara satu sama lain. Misi HALUAN Malaysia adalah untuk menyalurkan korban sumbangan rakyat negara ini kepada lebih setengah juta pelarian rakyat Somalia yang berlindung di dua buah kem pelarian terbesar di dalam sempadan Kenya kelolaan UNHCR.

Mohd Jamil selaku Ketua Biro Kemanusiaan HALUAN cawangan Terengganu ditugaskan menjadi ketua dalam misi ini dengan berbekalkan pengalaman beliau bermula ketika mengikuti bencana Tsunami di Aceh pada tahun 2004 dan beberapa misi kemanusiaan lain. Pasukan ini dijangka berada di sana selama lapan hari dan akan kembali ke tanahair pada 30 Oktober ini. Sembelihan korban akan di agihkan kepada rakyat Somalia yang berada di kem-kem pelarian IFOR di Dadaab dan sebahagiannya di Garissa, lapan jam perjalanan merentasi padang pasir dari Nairobi, Kenya.

Dr. Syed Muhammad Haleem, selaku Ketua Biro HALUAN Palestin bersama Ustaz Al Hami Husain Suhaimi selain membawa amanah rakyat Malaysia melalui HALUAN juga membawa sumbangan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang sebanyak RM140,000 untuk menyiapkan Sekolah Menengah Rendah di Deir Al Balah. Korban juga akan dilakukan di Palestin sebanyak 33 bahagian amanah dari rakyat Malaysia tersebut untuk diagihkan kepada rakyat Palestin yang sangat memerlukannya.

Di jangkakan pasukan ini akan memasuki Gaza Palestin melalui pintu sempadan Rafah, Mesir pada 22 Oktober Semasa berlepas, Dr Syed Haleem selaku ketua misi mengharap doa daripada seluruh rakyat Malaysia supaya mereka selamat memasuki Gaza. Akhir-akhir ini, Gaza sering diserang dari udara dan dari darat oleh tentera penceroboh zionis Israel. Berpuluh rakyat Gaza termasuk kanak-kanak dan wanita telah syahid di dalam serangan tersebut bertujuan melemahkan semangat para pejuang Palestin di sana. Pasukan ini dijangka akan berada di Gaza selama sembilan hari dan akan kembali ke tanah air pada 1 November nanti.

Dalam sedikit masa lagi, HALUAN Malaysia akan menghantar pasukan ke Kemboja dan Vietnam pada 24 November untuk tujuan yang sama. Manakala pasukan ke India pada 25 November diketuai oleh Encik Mohd Azhar Mohd Idris selaku Ketua Biro Kebajikan HALUAN Malaysia manakala pasukan ke Thailand pada 26 November nanti. Pasukan ke Bangladesh masih menanti urusan visa dan bersedia untuk berlepas dalam masa terdekat.