fbpx

Konvensyen Wanita HALUAN Anjak Martabat Wanita

Konvensyen Wanita HALUAN Anjak Martabat Wanita

Konvensyen Wanita HALUAN Anjak Martabat Wanita

PUTRAJAYA, 27 Nov 2016 – Muslimah harus solehah, bertaqwa, memelihara maruah diri, berilmu, memiliki akal yang cerdik dan matang, emosi yang sihat dan stabil, sihat rohani dan jasmani, serta mempunyai matlamat dan cita-cita yang tinggi.

Itu antara resolusi yang tercapai semasa Konvensyen Wanita Kebangsaan 2016 pada 27 November lepas di Masjid Putra, Putrajaya, yang dianjurkan oleh Biro HALUANITA dengan kerjasama masjid berkenaan. Konvensyen yang bertemakan “Wanita Pembina Legasi Masa Depan” tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan dengan kupasan para penceramah yang sangat relevan dan bermanfaat kepada semua hadirin baik sebagai seorang belia/pemudi, ibu, isteri ataupun pekerja.

Pengarah Program merangkap Timbalan Ketua Biro, Biro HALUANITA dan Pengerusi Kelab Ikhtisas HALUAN, Dr. Zurina Muda menyeru agar wanita tampil menganjakkan paradigma hidup mereka ke arah ketaqwaan.

“Sebagai peserta Konvensyen Wanita Kebangsaan 2016, marilah kita sama-sama menjadi wanita mulia pembina legasi masa depan dengan mendokong Deen Allah SWT dan bermanfaat kepada ummah. Sebagai isteri, kita perlu berusaha untuk sentiasa setia menjadi pendokong dan penyejuk hati suami, mengatur segala urusan kehidupan rumah tangga seiring dengan amal Islami dalam masyarakat,” ujar beliau.

Katanya lagi dalam pembentangan resolusi, wanita sebagai ibu perlu berusaha memimpin dan mendidik anak-anak sebagai amanah yang dianugerahkan oleh Allah SWT dan mempersembahkan kepada ummah bakal rijal yang unggul lagi hebat, pewaris Deen ini.

Sebagai pekerja pula mereka, perlu menjadi pakar dalam bidang yang diceburi, berintegriti, memanfaatkan teknologi masa kini, menyumbang kepada sosio-ekonomi negara serta menjadi agen perubah masyarakat yang mendidik, berakhlak dan berbakti.

Tegas beliau lagi, “Justeru, setiap insan bergelar wanita yang memiliki kesedaran tentang kepentingan mewujudkan legasi masa hadapan yang seimbang dan harmoni dari segi Jasmani, Rohani, Emosi dan Intelektual seharusnya mengembling tenaga di semua peringkat dalam melaksanakan setiap resolusi yang kita ketengahkan pada hari ini.”

Memetik kata-Kata Syeikh Yusuf Al- Qaradhawi, “Kelemahan umat Islam hari adalah sebab hilangnya beberapa faktor kekuatan. Dalam POLITIK kita terjajah, dalam EKONOMI kita mundur, dalam INTELEKTUAL kita beku, dalam PENGURUSAN kita lemah, dan dalam SOSIAL kita runtuh. Namun kesemua ini dirumuskan berpunca daripada lemahnya atau hilangnya DUA perkara daripada umat Islam iaitu IMAN dan AKHLAK. Jika hilang akhlak, hilang iman maka hilanglah segala-galanya.”

“Maka saya menyeru dan merayu agar setiap peserta konvensyen kali ini dapat pulang dengan keazaman baru untuk bersama berusaha membangunkan sebuah generasi Rabbani – pewaris anbiya’. Bersama-sama kita bertindak dan memperbaiki semula kehidupan bermula daripada diri, keluarga dan masyarakat dengan memiliki kesedaran Ilmu, beriman dan beramal soleh kearah membina kestabilan dan kemakmuran negara demi mencapai keredhaan Allah SWT,” pesan beliau lagi.

Laporan oleh Syafiyah Adzahar, AJK Dokumentasi