fbpx

Konvensyen Pembangunan Ummah 2010

Konvensyen Pembangunan Ummah 2010

Konvensyen Pembangunan Ummah 2010

PUTRAJAYA, 25 Oktober 2010 – Konvensyen Pembangunan Ummah 2010 yang bertemakan “Bersama Menangani Permasalahan Ummah” telah berlangsung dengan jayanya di Masjid Putra, Putrajaya selama 3 hari bermula 22 hingga 24 Oktober 2010. Seramai 265 peserta dari seluruh Malaysia terlibat dalam menjayakan konvensyen pada kali ini.


Konvensyen ini adalah anjuran Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia (HALUAN) dengan kerjasama Masjid Putra, Putrajaya.

Ucapan perasmian konvensyen yang julung-julung kali diadakan ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Permodalan Nasional Berhad, Y.Bhg. Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Beliau juga telah membentangkan kertas kerja pertama konvesyen yang bertajuk “Pembangunan Ummah Asas Pembangunan Negara”.

Konvensyen Pembangunan Ummah (KPU) 2010 mempunyai objektif dan matlamat untuk mewujudkan suasana interaktif antara NGO dan masyarakat, di samping untuk meningkatkan pengetahuan dan maklumat semasa berkaitan dengan pembangunan ummah dan mengenal pasti peranan yang perlu dimainkan oleh masyarakat terhadap isu-isu semasa ummah. Justeru, KPU pada kali ini menampilkan beberapa orang tokoh masyarakat yang sangat mahir dan arif dalam bidang pembangunan ummah yang meliputi bidang pendidikan, ekonomi, sosial, dakwah dan sebagainya.

Selain Tun Ahmad Sarji antara tokoh yang turut tampil membentangkan kertas kerja ialah Profesor Pendidikan Institusi Pendidikan UIAM  Y.Bhg. Prof Dato’ Dr Sidek Baba, Penasihat Global Civilizations Study Centre UK  Y.Bhg. Dr Kamal Tawfik ElHelbawy, Pengerusi QSR Brands Bhd Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM) Y.Bhg. Datuk Nik Mustapha Hj Nik Hassan, Pensyarah Institut Sains dan Teknlogi Nasional (ISTN) Jakarta, Indonesia Y.Bhg. Prof Dr Ir Agus Priyono, Presiden HALUAN Malaysia Y.Bhg. Dr Abdullah Sudin Abdul Rahman dan juga panel jemputan forum iaitu Wakil TERAS , Y.Bhg. Tn Hj Muhammad Azmi Bin Abdul Hamid dan Wakil WADAH, Y.Bhg. Prof Dato’ Dr Mohd Yusof Hj Othman.

Sepanjang sesi konvesyen selama 3 hari ini, para peserta telah dibentangkan dengan pelbagai maklumat, pertukaran maklumat dan sesi perkongsian pandangan ke arah mencari langkah-langkah yang lebih produktif, dinamik dan berkesan untuk menangani isu ummah ini. Di samping itu juga, mediaHALUAN  Rawang telah mengambil inisiatif untuk menyiarkan lintas langsung perjalanan konvensyen ini secara “live streaming” di laman web rasmi konvensyen. Lebih kurang 2,500 orang menyaksikan konvensyen ini melalui internet.

Konvesyen berakhir dengan upacara majlis perasmian yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) , Y.Bhg. Dato’ Haji Wan Mohammad Bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz. Di dalam ucapannya, beliau sangat gembira dengan usaha-usaha seperti ini dan berharap agar segala idea-idea dan pandangan para tokoh negara didokumenkan serta diusulkan kepada pihak berwajib agar cadangan-cadangan yang baik ini dapat dilaksanakan dan diterapkan dalam perancangan kerajaan.

Adalah diharapkan segala perkongsian ilmu, pengetahuan, pertukaran idea serta pandangan sepanjang konvesyen ini akan membuka minda para peserta dan akan menjadi suatu perkara yang bermanafaat untuk dijadikan salah satu sumber kekuatan untuk mengatur langkah kolektif dan bersepadu kearah menyelesaikan permasalahan ummah.