Konspirasi George W Bush & Ehud Olmert?
PRESIDEN Amerika Syarikat George W Bush dan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert diberi tumpuan minggu ini berhubung prestasi masing-masing. Bush yang bakal melepaskan jawatan kepada Presiden baru tahun depan, diberi perhatian rakyat Amerika dan luar negara ketika memberi ucapan tahunannya yang terakhir berhubung keadaan negaranya, Isnin lalu. Rakyat Amerika atau di negara luar mahu tahu sejauh mana pandangan Bush mengenai pencapaiannya memerintah dua penggal negara kuasa besar berkenaan. Jelas, lebih banyak kekecewaan dan kegagalan daripada berita menggembirakan. Bush umumnya memberi taklimat ringkas mengenai isu Iraq, Iran, perdagangan antarabangsa dan Palestin, manakala dalam perkara dalaman beliau mengulas soal krisis perumahan dan ekonomi Amerika, penyelidikan sel tunjang dan pengklonan serta tenaga dan alam sekitar.
Dalam soal dalaman sekalipun, pemerhati dan penganalisis tidak memberi penilaian positif kepada pentadbiran Bush, inikan pula pencapaiannya dalam hal ehwal antarabangsa. Bagi penduduk Palestin atau Israel yang cintakan keamanan, Bush berkata, ‘masanya sudah tiba di negara Israel dan Palestin yang demokratik untuk tinggal berjiran secara aman.’ “Penduduk Palestin melantik seorang Presiden yang mengiktiraf perlunya memerangi keganasan bagi membentuk negara membolehkan penduduknya tinggal dalam suasana baik dan aman dengan Israel. Israel pula mempunyai pemimpin yang mengakui kewujudan Palestin yang demokratik dan aman adalah sumber keselamatan berkekalan,” kata pemimpin Amerika itu. Masalahnya, semua perkara yang diharapkan Bush mahupun masyarakat antarabangsa sudah dicapai di Palestin, tetapi dihancurkan Israel dan Amerika sendiri yang tidak menerima keputusan demokrasi di tanah jajahan Yahudi itu. Mereka mahu demokrasi? Fatah dan Hamas bertanding dalam pilihan raya dan pergerakan Hamas menang. Bagaimanapun, kejayaan Hamas tidak disambut dengan bunga atau ucapan tahniah, tetapi diboikot Washington dan negara Eropah. DIGESA UNDUR: Olmert membetulkan kolar baju pada persidangan Parlimen di Baitulmaqdis minggu lalu.Dunia boleh lihat apa yang berlaku di Gaza apabila penduduk Palestin dengan bantuan Hamas, pergerakan yang digelar pengganas oleh Washington, terpaksa meletupkan tembok sempadan untuk membolehkan mereka mendapatkan keperluan asas di Mesir. Kesimpulannya, adalah lebih wajar menyatakan bahawa sudah tiba masanya bagi Amerika menerima, mengakui dan mengiktiraf demokrasi sudah wujud di bumi Palestin dan menyekat Israel daripada terus menindas serta membunuh warga pribumi Palestin. Dalam kata lain, Amerika perlu benar-benar adil dalam memainkan peranan broker kedamaian. Negara Palestin sepatutnya sudah lama dibentuk. Apakah penjajahan Zionis lebih 60 tahun di bumi Palestin belum mencukupi untuk rakyatnya diberi kemerdekaan dalam erti kata sebenar? Mengenai Iraq, Bush secara tidak langsung akur dengan pandangan bahawa misi tentera Amerika di negara Teluk itu akan diundurkan sehingga semua askarnya tidak lagi ada di bumi Iraq. “Musuh kita di Iraq sudah menghadapi padah serangan askar kita. Mereka, bagaimanapun, belum lagi kalah dan kita perlu bersedia untuk terus menghadapi pertempuran. Matlamat kita pada tahun mendatang ialah mengekalkan dan memperkukuh kedudukan yang dicapai pada 2007 dan pada masa sama, bersedia beralih ke fasa baru. “Tentera Amerika sudah mengubah misi sebelum ini daripada mengetuai operasi kepada bekerjasama melakukan misi dengan askar Iraq dan seterusnya memantau.” Apapun yang dijadikan alasan oleh Bush, masyarakat antarabangsa dan tinjauan demi tinjauan di Amerika sendiri memutuskan bahawa askar Amerika tidak sepatutnya melancarkan perang di bumi Iraq. Tidak hairanlah Bush dan pegawai kanannya tidak berani lagi menyebut alasan keramat menyerang Iraq iaitu senjata pemusnah besar (WMD). Petanda terbaru kempen perang di Iraq dan medan konflik lain yang disertai Amerika semakin kucar kacir ialah perangkaan tentera menunjukkan 121 askar Amerika membunuh diri pada tahun lalu, 34 daripadanya di Iraq. Ini berbanding 89 kes tahun sebelumnya. Agensi berita Associated Press (AP) memetik Kolonel Elspeth Ritchie, perunding psikiatri tentera sebagai berkata, selain faktor masalah peribadi dan kewangan, sebab lain termasuk tempoh bertugas di Iraq, Afghanistan atau negara berdekatan. “Anggota tentera terlalu banyak melakukan misi dua perang (Iraq dan Afghanistan) menyebabkan Pentagon melanjutkan tempoh biasa bertugas daripada 12 bulan kepada 15 bulan membabitkan askar sama beberapa kali bertugas di tempat sama,” kata AP menjelaskan faktor membawa kepada kes bunuh diri itu. Tidak syak lagi, percaturan Bush mensasarkan Saddam Hussein dan pemimpin kanan Baath atas nama demokrasi, hak asasi manusia dan menghapuskan ancaman WMD memberi kesan sebaliknya. Walaupun Saddam sudah tiada, kehadiran askar Amerika di bumi Iraq menambahkan kebencian penduduk, selain menjadi sumber inspirasi kepada al-Qaeda dan pergerakan jihad merancang dan melaksanakan serangan terhadap tentera asing itu. Tidak cukup dengan menjatuhkan rejim Taliban di Afghanistan bagi menghapuskan ancaman Osama bin Laden, Bush menerusi satu lagi slogan iaitu ‘Pakatan Kejahatan’ (Axis of Evil) menyenaraikan Iran dan Korea Utara sebagai musuh demokrasi dan keamanan. “Mesej kami kepada pemimpin Iran juga jelas. Hentikan program perkayakan nuklear dan sertai semula masyarakat antarabangsa, jelaskan niat isu nuklear dan hentikan sokongan kepada pengganas di luar negara. Kami akan berdepan dengan pihak yang mengancam askar kami dan mempertahankan kepentingan kami di Teluk Parsi,” katanya. Setakat ini, Bush yang menuntut Iran menghentikan program nuklearnya terus mengeluarkan retorik keras perkara itu. Dalam kes Korea Utara, ia menghantar wakil berunding isu berkenaan. Jadi, tidaklah mengejutkan Bush tidak langsung menyebut peristiwa 11 September 2001 yang menyebabkan pentadbirannya melancarkan kempen memerangi keganasan dengan slogan ‘anda bersama saya atau menentang saya’ bukan satu kejayaan besar sebaliknya mencetuskan kesan yang tidak disangka-sangka. Sekutu terdekat Amerika, Israel, paling kuat menyokong Bush dalam kempen memerangi keganasan. Sejak peristiwa 9/11 Israel tidak segan silu menyokong apa juga langkah Amerika dan ini sampai kemuncaknya apabila pentadbiran Olmert melancarkan kempen perang terhadap Hizbullah di Lubnan bagi menghapuskan pergerakan itu dan menyelamatkan beberapa askar Yahudi yang ditawan pergerakan pejuang berkenaan. Selepas 34 hari, gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hizbullah. Kira-kira 1,035 hingga 1,191 orang awam Lubnan maut, selain 119 askar dan 40 orang awam Israel. Suruhanjaya Winograd memutuskan, pentadbiran Olmert gagal melindungi orang awam selepas kira-kira 4,000 roket dilancarkan Hizbullah ke wilayah penduduk Yahudi pada Julai 2006. Eliahu Winograd, 81, hakim bersara yang mengetuai suruhanjaya berkenaan menyifatkan Israel tidak menang perang di Lubnan itu dan menyalahkan pemimpin politik dan tentera atas kelemahan pada peringkat kajian strategik perang dan pelaksanaannya. Kegagalan kempen perang di Lubnan menyaksikan Dan Halutz meletakkan jawatan sebagai panglima tertinggi tentera disusuli Menteri Pertahanan, Amir Peretz. Ia menyebabkan Hizbullah mendabik dada menang dalam menghadapi serangan Israel di selatan Lubnan. Laporan Suruhanjaya Winograd, meskipun menekankan kesilapan dilakukan dalam kempen menyerang pejuang Hizbullah, tidak pula menuding jari menyalahkan Olmert menyebabkan Perdana Menteri Israel itu mengeluarkan kenyataan lega dengan keputusan berkenaan dan menolak gesaan meletakkan jawatan. Di sini, Bush dan Olmert berpendirian sama. Mereka membuat keputusan untuk melancarkan serangan terhadap musuh walaupun pemimpin Amerika melakukannya dengan memberi alasan palsu, manakala pemimpin Israel itu pula bertindak selepas diberitahu mereka berupaya menghapuskan Hizbullah. Sekalipun enggan mengakui kempen dilancarkan itu salah, tinjauan pendapat mendapati orang awam tidak lagi mempercayai Olmert. Tinjauan agensi Maagar Mohot mendapati, 60 peratus warga Israel berpendapat Olmert patut meletakkan jawatan. Hanya 19 peratus berpendapat sebaliknya. Tegasnya, Bush mahupun Olmert nyata gagal dalam misi memerangi keganasan takrifan masing-masing, sebaliknya, tindakan dua pemimpin itu menyebabkan negara mereka dipandang serong kerana bertindak umpama pengganas yang diperangi. Tidak hairanlah ucapan Bush tidak membincangkan 9/11. Olmert pula enggan melepaskan jawatannya meskipun dibidas kerana melancarkan serangan terhadap Hizbullah hingga memusnahkan infrastruktur Lubnan. Media Barat tidak segan silu merujuk seseorang pemimpin itu sebagai ‘diktator’, ‘kuku besi’ mahupun dalang pembunuhan ribuan manusia seperti dinyatakan berulang kali menjelang, ketika dan selepas kematian Presiden Suharto atau Saddam. Apakah Bush dan Olmert tidak boleh dimasukkan dalam kategori sama?