fbpx

Kolokium Pendakwah Muda HALUAN 2011

Kolokium Pendakwah Muda HALUAN 2011

Kolokium Pendakwah Muda HALUAN 2011

SHAH ALAM, 29 Julai – Biro Pemuda HALUAN dan Kelab Siswa HALUAN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya mengadakan Kolokium Pendakwah Muda HALUAN 2011 (KPMH 2011) pada 29 Julai hingga 2 Ogos 2011 yang lalu bertempat di Kem Bumi Jati, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam. Dengan bertemakan “Pendakwah Berwawasan, Membangun Ummah”, kolokium ini berjaya memberi banyak pengisian kepada peserta yang hadir.


Seramai 120 orang peserta terdiri daripada pemuda, pemudi, siswa dan siswi HALUAN telah menyertai kolokium yang julung kalinya diadakan pada tahun ini. Program ini bertujuan melatih dan memberi pendedahan mengenai skop dan prosedur pentadbiran HALUAN, melatih kemahiran dan membekalkan maklumat yang diperlukan pendakwah muda masa kini serta perkongsian pengalaman bersama pendakwah-pendakwah senior yang yang telah banyak menyumbang dalam arena dakwah islamiah. 
 
Perasmian program telah disempurnakan oleh Tn Hj Mat Radzi bin Hj Mat Ali, Ketua Bahagian Inovasi dan Ketamadunan JAKIM, mewakili Ketua Pengarah JAKIM. Beliau telah menyampaikan sedikit perkongsian tentang realiti dakwah di Malaysia dan menekankan ciri-ciri pendakwah yang berkesan dan berjaya yang seharusnya dimiliki oleh pendakwah-pendakwah di Malaysia.

Program sepanjang 5 hari ini telah menampilkan barisan penceramah dan pembentang yang berkaliber dan berpengalaman dalam bidang dakwah masing-masing. Para peserta telah diberi penekanan bahawa dakwah ilallah merupakan tugas asasi setiap muslim yang mesti dilaksanakan dalam semua tempat, keadaan dan masa. Didalam memenuhi tuntutan dakwah era semasa, beberapa bekalan dan kemahiran asas perlulah dihadam oleh para pendakwah.
 
Maka, sepanjang kolokium ini, para peserta telah dilatih melalui beberapa siri bengkel keperluan dan kemahiran yang mesti dilengkapkan oleh pendakwah masa kini. Termasuk juga beberapa teori dan pengetahuan asas yang mesti difahami oleh setiap pendakwah masa kini.

Pengarah program, Tn Hj. Hasri bin Ahmad berkata, program ini merupakan kolokium pemuda dan HALUANSiswa yang julung kalinya diadakan dan merupakan titik permulaan untuk mendedahkan pendakwah-pendakwah muda HALUAN kepada teknik dan cara dakwah yang berkesan dan sistematik.
 
Majlis Penutup telah disempurnakan oleh Dr Azizan bin Ahmad, Naib Presiden 3, HALUAN Malaysia. KPMH 2011 telah melabuhkan tirainya dengan bacaan Resolusi KPMH 2011 yang diketuai oleh Saudara Muhammad Siddiqi Jamalludin, selaku Presiden SiswaHALUAN.
 
Semua peserta sangat berharap agar Kolokium seperti ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang agar lebih ramai pendakwah-pendakwah muda dapat menerima pelbagai pengisian penting sebagai persediaan menjadi pendakwah berkualiti dan berterampilan.