fbpx

Kolej Cybernetics Anjur Kempen ‘Kasih Palestin’

Kolej Cybernetics Anjur Kempen ‘Kasih Palestin’

Kolej Cybernetics Anjur Kempen ‘Kasih Palestin’

KUALA LUMPUR, 17 Sept 2014 – Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics di sini telah menganjurkan ‘Palestinian Love Awareness Campaign’ untuk mempertingkatkan kesedaran dan keprihatinan warganya terhadap kesengsaraan rakyat Palestin.

Program berkenaan yang diadakan atas inisiatif staff dan pelajar kolej tersebut diisikan dengan pelbagai program sepanjang tempoh kempen berkenaan. Menurut Pegawai Aktiviti Bahagian Sumber Manusia merangkap pengarah program, Encik Farhan Abd. Ghaffar banyak aktiviti telah disusun bagi menjayakan program Palestinian Love Awareness Campaign tersebut.

Program telah bermula pada pukul 9.00 pagi dengan sesi penerangan isu terkini di Palestin dan projek-projek yang dilaksanakan oleh HALUAN di Palestin. Sesi berkenaan telah dibuat oleh Dr. Syed Muhamad Haleem Syed Hassan, Timbalan Ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN. Mantan pengerusi Biro HALUAN Palestin itu turut berkongsi pengalaman beliau semasa pelayaran kapal MV Mavi Marmara. Sesi taklimat tersebut turut disertai Ketua Eksekutif Bahagian Sumber Manusia, Cik Rafiza Mohd Asiar, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Encik Armein Zahari, Ketua Pelajar Encik Ezmit Ameer Shah Aziz dan di pengerusikan oleh Pegawai Eksekutif Sumber Manusia Encik Zaimi Kamaruddin.Sekitar 200 orang peserta telah hadir bersama.

Sesi penerangan tersebut memberikan mesej yang jelas kepada para pelajar dan staff betapa perlunya membantu rakyat Palestin yang tertindas hingga sekarang dan dinafikan hak kemanusiaan. Penceramah juga menekankan usaha yang berterusan dalam membebaskan bumi Palestin dengan berdoa, meneruskan sumbangan, memberi kesedaran dan memboikot produk-produk yang membantu Zionis. Ini termasuklah makanan seperti McDonald’s, semua jenis barangan keluaran Nestle, Coca-Cola, Starbucks dan sebagainya. Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Prof. Dr. Nazaruddin Mohamed Jali. Beliau berharap dengan adanya program sebegini pelajar dan staff akan lebih prihatin dengan kesusahan rakyat Palestin serta dapat meningkatkan kesedaran yang lebih untuk berbakti mencurahkan segala keringat dan buah fikiran yang ada untuk membantu saudara kita di Palestin.

Selesai perasmian program, acara diteruskan lagi dengan sesi penerangan oleh Penolong Ketua Biro HALUAN Palestin, Encik Mohd Nizam Mohamad Awang. Beliau menceritakan tragedi yang berlaku di atas kapal penumpang MV Mavi Marmara. Walaupun peristiwa tersebut telah empat tahun berlalu, namun ia masih terasa seperti baru kerana melibatkan pembunuhan kejam oleh komando zionis Israel terhadap warga awam yang tidak bersenjata pada 31 Mei, 2010. Terserlah sudah kejahatan dan kezaliman bangsa Yahudi tersebut. Peristiwa yang berlaku di atas kapal itu hanya secebis dibandingkan derita yang ditanggung oleh rakyat Palestin sejak lebih 70 tahun dengan pembunuhan, penangkapan, penyiksaan dan rampasan ke atas tanah air mereka. Pesanan terakhir penceramah ialah janganlah isu Palestin ini dijadikan isu bermusim sahaja malahan ia perlu dijadikan isu dalam perancangan setiap tahun kampus berkenaan demi pembebasan Masjid Al-Aqsa.

Program turut diserikan lagi dengan persembahan sketsa menyentuh perasaan oleh Kelab Teater dan Drama pelajar kolej berkenaan. Dalam pada itu, Biro HALUAN Palestin turut mengadakan sesi pameran dan jualan amal sepanjang program berjalan.

Laporan Unit Media Biro HALUAN Palestin