fbpx

KMK Terengganu Meriah & Ceria

KMK Terengganu Meriah & Ceria

KMK Terengganu Meriah & Ceria

KUALA TERENGGANU, 19 Nov 2012 — Kem Minda Kreatif (KMK) 2012 Terengganu yang kali ini berlangsung di Scout Inn Resort, Telaga Batin jelas menampakkan kelainan bila mana sambutan para pelajar sekolah menengah amat memberangsangkan disulami pula dengan aktiviti-aktiviti outdoors yang amat menarik.

Berlangsung selama tiga hari mulai 15 November, seramai 111 orang pelajar daripada tingkatan satu hingga empat puas beraktiviti dengan penerangan dan pengisian-pengisian berkualiti serta aktiviti luar berbentuk lasak dan menguji minda.

Kem anjuran Kelab Remaja Haluan (KeARAH) Terengganu itu berjaya menerapkan nilai-nilai positif ke dalam diri peserta sambil membina silaturrahim antara mereka agar membiasakan diri untuk saling mengingatkan antara satu sama lain. Ianya juga dapat memperkenalkan KeARAH dan HALUAN kepada masyarakat terutamanya golongan muda agar membentuk jatidiri peserta dalam rangka untuk menjadi seorang muslim yang berjaya di dunia dan akhirat.

Ahmad Mukhlis Hasnan, peserta dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, menyanjung tinggi KMK ini. “Alhamdulillah, saya dapat kenal ramai kawan-kawan baru. Di samping itu, slot-slot ceramah dan aktiviti outdoors semuanya best. Yang paling best sekali, abang-abang dan kakak-kakak fasilitator memang ramah, membantu dan terbaik.”

Pengarah Program KMK, Encik Mohd Faiz Zaki bersyukur kerana Allah telah mempermudahkan aktiviti kem kali ini. “Alhamdulillah, segala urusan keseluruhan telah dipermudahkan selama tiga hari dua malam. Melalui maklumbalas yang diterima dalam borang soal selidik, para peserta telah menunjukkan kesungguhan yang tinggi untuk mengikuti KMK ini. Ukhwah terjalin walaupun mereka tidak pernah berkenalan sebelum ini.”

“Seterusnya, modul-modul “Indoor” dan “Outdoor” yang telah dilaksanakan telah membuka satu ruang pemikiran baru di mana peserta telah dapat mengenalpasti potensi diri dengan titik tolak perubahan dari tiga aspek iaitu rohani, aqli dan jasmani dalam membentuk peribadi yang luar biasa,” tambahnya lagi.

Di antara aktiviti menarik termasuklah Rentas Halangan, Identiti Diri (Mencari Seorang Aku), Paintball, Konsep Ibadah (Cintamu VS Cinta-MU), Explorace Pantai , serta Kaunseling (Remaja Kontemporari, Mencorak Identiti).

KMK Terengganu kali ini diserikan oleh Encik Ahmad Amirudin Awaluddin selaku Setiausaha Eksekutif Persekutuan Pengakap Negeri Terengganu yang telah menjadi Perasmi Majlis Penutup Kem Minda Kreatif (KMK) 2012 sambil melancarkan Kelab Sahabat KeARAH (KSK) Terengganu.


Laporan Munirah Mohamad