fbpx

KMK Perak Gilap Potensi Diri Peserta

KMK Perak Gilap Potensi Diri Peserta

KMK Perak Gilap Potensi Diri Peserta

TAPAH, 18 Nov 2012 — Kem Minda Kreatif (KMK) negeri Perak telah berlangsung pada 16 hingga 18 November di Agro Recreation Centre, Tapah, Perak. Program anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) dengan kerjasama Kelab Belia HALUAN Ipoh (KBHI) ini berjaya menghimpun seramai 70 orang peserta terdiri daripada 26 orang lelaki dan 44 perempuan.

Pada kali ini, KMK telah memilih “Remaja Kontemporari Mencorak Identiti” sebagai tema program bagi membentuk remaja dinamik yang mampu membawa identiti seorang muslim seiring dengan kemajuan masa kini.

Tenaga penggerak yang diketuai oleh Cikgu Zul Safaruddin Mat selaku Penasihat KMK-16 Perak turut sama dijayakan oleh Kem Komandan Mohammad Fakhruddin Ab. Ghani dan Timbalan Kem Komandan, Ainul Mashitah Amran serta barisan fasilitator dan urusetia kem. Antara objektif yang ingin dicapai adalah untuk membina kefahaman dan kesedaran Islam, jati diri remaja, meletakkan kecintaan agung kepada Allah dan Rasul serta memotivasi ke arah pengurusan diri muslim yang lebih baik.

Peserta telah diberikan taklimat program dan ice-breaking bagi merapatkan ukhuwah sesama mereka dengan kuliah pertama oleh Ustaz Syed Zainal Zahari Syed Hasan bertajuk ‘Siapa Aku?’. Ia bertujuan mendidik para peserta tentang peranan muslim dalam kehidupan seharian di samping ibadah khusus dan umum yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan.

Seawal jam 5.30 pagi, para peserta telah bersiap sedia untuk solat subuh dan kuliah subuh yang disampaikan oleh Saudara Muhammad Amir Hamzah Razali dan seterusnya diberi peluang untuk bertaaruf dengan para fasilitator dan urusetia KMK. Aktiviti diteruskan dengan taklimat oleh jurulatih bertauliah yang dikendalikan oleh Encik Mohd Rafee Roslan bagi aktiviti Jungle Tracking.

Antara pendedahan yang dititik beratkan adalah formasi perjalanan, pantang-larang semasa di dalam hutan serta menjaga disiplin diri. Alhamdulillah, sepanjang perjalanan selama empat jam, tiada kecederaan dilaporkan.

Aktiviti outdoor yang lasak amat digemari para peserta. Flying Fox dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK ) diteruskan pada sebelah petang secara bergilir antara peserta lelaki dan perempuan. Istimewanya, kebanyakan para peserta memberikan respon yang cukup positif termasuklah ingin memanjangkan tempoh aktiviti, mampu membuka ruang untuk berdebat dan menguji daya keberanian masing-masing. Mereka semakin menggilap pontensi diri yang tidak pernah mereka sedari selama ini.

Pada sebelah malam pula, para peserta diberi peluang untuk menunjukkan bakat melalui Malam Minda Kreatif. Mereka dinilai melalui beberapa kriteria pemarkahan termasuklah kreativiti dan isi persembahan.

Menjelang keesokan harinya, ternyata minat para peserta KMK pada program kali ini semakin menyerlah apabila mampu untuk bangun seawal 4.00 pagi untuk aktiviti – Morning Walk bertujuan menguji keberkesaan taaruf di kalangan mereka walaupun dalam suasana gelap.

Akhir sekali, KMK telah melabuhkan tirai dengan majlis penutup yang telah dirasmikan oleh Cikgu Zul Safaruddin Mat serta penyampaian hadiah kepada para peserta dan semua tenaga penggerak kem. Jelas para peserta amat sayu melambai pergi program ini. Diharapkan semoga usaha dan niat KMK untuk meneruskan peninggalan para nabi dan sahabat akan diteruskan dan diterima Allah, insyaAllah.