fbpx

KMK Kelantan Meriah Beraktiviti

KMK Kelantan Meriah Beraktiviti

KMK Kelantan Meriah Beraktiviti

BESUT, 17 Nov 2012 – Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Kelantan telah menganjurkan Kem Minda Kreatif (KMK) pada 13 hingga 15 November di Kem Sri Keluang, Besut, Terengganu. Seramai 146 orang peserta, antaranya daripada SMK Machang, Maahad Sains Al-Quran Al-Amin, SMKA Melor, SMA Kampung Laut, Maahad Muhammadi Perempuan, telah menyertai kem pada kali ini.

Antara objektif utama KMK ialah menerapkan nilai tarbiyyah dalam diri untuk melahirkan remaja yang berkualiti dari sudut rohani, jasmani dan emosi, menanam dalam diri peserta pentingnya ikatan ukhwah Islamiyah yang sebenar dan juga melatih ketahanan diri serta kecergasan fizikal agar mampu berdikari dalam semua keadaan.

Pada hari pertama, para peserta melibatkan diri dalam aktiviti Pecahkan Ais, yang menyediakan pelbagai permainan menarik seperti Kau Kerusiku, City Bundle dan banyak lagi. Ini diserikan lagi dengan sajian aktiviti dalam berkumpulan Belon si Buta, You Are Under Arrest, dan Pintu Doremon.

Pada sebelah malamnya pula, slot Kehebatan Saya yang dikendalikan oleh Encik Siddiqi Jamaluddin berjaya membuka lembaran para sahabat Nabi yang harus dijadikan ikutan remaja zaman kini. Slot Minda Kreatif dikendalikan sepenuhnya oleh Fasilitator. Aspek fizikalnya lebih kepada kepada War Game antaranya Dota Game, manakala mental lebih kepada debat, menggalakkan peserta untuk berkongsi maklumat dan mencambahkan idea.

Menjelang hari kedua, slot Remaja Kontemporari Mencorak Identiti kendalian Encik Mohd Razali Maarof berjaya melahirkan kesedaran peserta bahawa merekalah tunjang masa depan dunia. Mereka juga berpeluang untuk menjadi chef muda sehari dengan menghasilkan menu makan tengah hari sendiri melalui aktiviti Dapur Berasap.

Aktiviti Nightwalk di sekitar tapak kem pada awal pagi adalah sebagai pembuka tirai hari terakhir program ini. Sesudah sarapan, peserta mengikuti jungle trekking di trek khusus untuk aktiviti mencabar ini. Istimewanya, peserta dapat mendaki bukit dan meneroka hutan.

KMK kali ini melabuhkan tirainya menjelang petang dengan acara perasmian penutup oleh Dr Mohd Ariff Mohd Rashid, Timbalan Pengarah 2, HALUAN Kelantan. Kem kali ini di bawah pimpinan Saudara Mohamad Fatmi Mansur Che Sarimuzi selaku Kem Komandan dan Timbalan Kem Komandan, Saudari Widad Kamarudin. Mereka dibantu seramai 39 orang tenaga penggerak urusetia dan fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa/i seluruh Malaysia.