fbpx

KMK Kelantan Mengeratkan Ukhuwah Remaja Kontemporari

KMK Kelantan Mengeratkan Ukhuwah Remaja Kontemporari

KMK Kelantan Mengeratkan Ukhuwah Remaja Kontemporari

BACHOK, 18 November 2013 — Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Kelantan telah berjaya menganjurkan Kem Minda Kreatif (KMK) pada peringkat negeri dari 18 hingga 20 November di D’Muara Beach Resort, Tok Bali. Seramai 60 orang peserta telah menyertai KMK yang merupakan tahun ke-8 dianjurkan di negeri Kelantan. 30 orang tenaga penggerak hasil daripada gandingan ahli-ahli KeARAH dan Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) telah memainkan peranan sebagai urusetia dan fasilitator bagi menjayakan program ini.

Sdr. Mohammad Shakirin Che Abdul Rahman selaku kem komandan manakala tugas timbalan kem komandan disandang oleh Sdri. Syahidah Zulkifli. Mereka dibantu oleh para fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi dari beberapa institusi pengajian tinggi awam dan swasta tempatan. Antara objektif yang digariskan untuk kem kali ini ialah untuk melatih ahli-ahli KeARAH agar memiliki ikatan ukhuwah islamiah yang sebenar. Pada masa yang sama turut melatih ketahanan diri serta kecergasan fizikal mereka dan para peserta agar mampu berdikari dalam semua keadaan.

“Saya berharap penyertaan anak saya dalam kem ini akan memberi beliau input yang dapat dia praktikkan dan memastikan kelangsungan tarbiah untuk dirinya dalam kehidupan,” kata En. Wan Abdul Aziz yang mendaftarkan anak beliau, Wan Ahmad Najmuddin di KMK kali ini.

Selepas sesi taklimat ringkas program pada hari pertama, para peserta mengikuti slot Ice Breaking dan Team Building yang menyediakan pelbagai aktiviti menarik dan menguji minda seperti salam taaruf, surat layang, ikatan muhibbah dan sebagainya. Pada sebelah malamnya, para peserta didedahkan dengan kaedah mengenali diri melalui ujian personaliti dalam slot “Kenali Diri Cinta Ilahi.” Slot tersebut dikendalikan oleh En. Mahmud Jaafar yang merupakan kaunselor di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh dan juga merupakan penasihat KeARAH Kelantan.

Pada hari kedua, para peserta menyertai aktiviti penerokaan dalam slot Explorace. Antara aktiviti lain yang diadakan ialah promosi program Youngstar yang merupakan pertandingan dalam kategori pertandingan pidato, esei dan poster. Selepas solat Isyak, para peserta mengikuti slot Refleksi Explorace yang memberi mereka ruang untuk berkongsi pengalaman dan pengajaran yang diperolehi sepanjang penglibatan mereka dalam slot Explorace yang telah dilalui pada sebelah siangnya.

Pada hari terakhir, setelah mengemas barang masing-masing dan membersih kawasan sekitar, para peserta mengikuti sesi Sharing Moments. Sesi ini memberi peluang kepada para peserta dan juga fasilitator berkongsi rasa serta cetusan minda setelah berkampung selama tiga hari dan dua malam di KMK kali ini.

Akhirnya, KMK Kelantan 2013 melabuhkan tirainya pada jam 11 pagi dengan acara perasmian penutup oleh Dr Mohd Ariff Mohd Rashid, Naib YDP II HALUAN Kelantan.

Semoga Allah SWT menerima sumbangan semua pihak dalam menjayakan kem ini dan para peserta mendapat manfaat semaksima mungkin untuk dijelmakan dalam kehidupan seharian.


Laporan oleh Nur Shatirah Zakaria