fbpx

KMK Kedah Membina Jati Diri Remaja

KMK Kedah Membina Jati Diri Remaja

KMK Kedah Membina Jati Diri Remaja

MERBOK, 26 Nov 2012 – Hampir 40 orang relawan siswa dan siswi daripada Kelab Siswa HALUAN (HALUANSiswa) telah membantu menjayakan Kem Minda Kreatif (KMK) 2012 Kedah di Kem Merbok selama tiga hari bermula 23 November. Apa yang menarik dan menjadi kelainan adalah kem ini telah menampilkan barisan penceramah yang kesemuanya terdiri daripada pemuda dan pemudi sahaja.

Program anjuran Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) Kedah itu telah berjaya mengumpulkan seramai 109 orang peserta yang terdiri daripada 57 orang lelaki dan 52 perempuan. Bertemakan “Remaja Kontemporari Mencorak Identiti”, KMK kali ini bertujuan membina kefahaman dan kesedaran tentang Islam, membina kecintaan kepada Allah dan Rasul, membina jati diri remaja serta memotivasikan mereka ke arah pengurusan diri yang baik. Kem Komandan bagi KMK Kedah 2012 adalah Encik Muhammad Afiq Kamal Azeman Shah dibantu oleh Cik Najihah Mansor sebagai Timbalan Kem Komandan.

Pada hari pertama, peserta menyertai aktiviti ice breaking dan team building yang menarik untuk mengeratkan ukhuwah sesama mereka seperti Duit Ukhwah, Sifir Takbir, Kasut Bujang, Pelukis Sepi dan Haiwanku.

Pada sebelah malam, bermulalah slot pertama oleh Encik Muhammad Fadhli Mohd Diah dengan tajuk “Saya Mestilah Muslim di Sudut Ibadah” yang telah berjaya memberi pencerahan kepada para peserta maksud ibadah yang sebenarnya bagi seorang Muslim.

Menjelang hari kedua, kuliah subuh telah disampaikan oleh Pengarah Program, Encik Muhammad Fayruz Azhar. Seterusnya, KMK Race telah diadakan dengan menyediakan lima checkpoint dengan pelbagai aktiviti yang mencabar dan menguji tahap kecergasan fizikal dan kecerdasan mental para peserta. Antara aktivitinya ialah “Kami Taat, Kami Patuh, Kami Ikut”, “Botol Berlubang”, “Spider Web”, “Batu, Kertas dan Kain Ajaib” dan “Puzzle”.

Pada setiap checkpoint peserta diberikan tugasan untuk diselesaikan seperti sirah, ayat hafazan, hadis, lagu tema dan 10 Muwasaffat Muslim. Bersesuaian dengan objektif, pihak kem telah menyajikan pengalaman baru kepada para peserta, umpamanya dengan solat berjemaah di dalam hujan bagi peserta lelaki. Kekentalan iman dan taqwa dilatih untuk memastikan peserta bersatu dalam melaksanakan arahan Allah SWT.

“KMK ini akan hanya dapat dikecapi kemanisannya oleh peserta yang hadir. Kami membantu mereka membina ukhuwah sesama Muslim, melatih mereka untuk tidak mementingkan diri sendiri, melaksanakan sesuatu untuk kebaikan yang lebih ramai serta sentiasa ingat kepada Allah dalam senang dan susah. Bayangkanlah adik-adik ini; bagaimana pencerahan kami abang-kakak siswazah berikan ini akan membantu mereka nanti di alam persekolahan dan di menara gading nanti,” tegas Encik Muhammad Afiq yang kena memantau keseluruhan perjalanan KMK.

Pada sebelah malamnya, slot kedua telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah, Cik Ijlal Mohd Diah dengan tajuk “Saya Mestilah Muslim di Sudut Akhlak” yang menekankan akhlak kepada ibu bapa. Debat KMK 2012 telah menghangatkan suasana dengan tajuk “Penyalahgunaan Telefon Bimbit dalam Kalangan Remaja ~ Salah Siapa?” bertujuan mencungkil bakat para peserta serta menilai tahap pemikiran kritikal mereka.

Hari terakhir dimulakan dengan kuliah subuh mengenai sirah Saidina Umar al-Khattab. Seterusnya, aktiviti menyembelih ayam dan memproses ayam yang diberi nama “Ayam Mana Yang Paling Cool,” diadakan untuk memberi pendedahan dan peluang kepada peserta cara-cara menyembelih ayam dan memproses ayam yang betul menurut syara’.

KMK Kedah 2012 telah melabuhkan tirai dengan Majlis Perasmian Penutupan oleh Cikgu Zamri Mat, Penasihat KeARAH Kedah serta penyampaian hadiah kepada para peserta. Secara keseluruhannya, KMK Kedah 2012 berjalan dengan lancar dan mendapat respon yang positif daripada semua peserta. Semoga Allah menerima amal ini sebagai amal qawi yang dapat memberatkan timbangan semua mereka yang telah terlibat.


Laporan oleh Ijmal Mohd Diah