fbpx

KKH Semai Bakti di Shah Alam

KKH Semai Bakti di Shah Alam

KKH Semai Bakti di Shah Alam

Lebih 300 orang awam telah memanfaatkan tawaran pemeriksaan kesihatan percuma yang telah disediakan oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) sepanjang minggu lepas di dua upacara yang berlainan.


Di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Shah Alam, KKH telah membuka ruang pameran dan kaunter pemeriksaan kesihatan di atas jemputan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sempena kempen MAIS Bersama Pelanggan pada 10-11 Julai, 2010.Ini adalah kali ketiga KKH berkerjasama dengan MAIS dalam menabur bakti kepada masyarakat setelah menyertai usaha dakwah di estet-estet India di Kampung Bangi Lama dan di Meru, Selangor pada masa lepas.

Menurut koordinator program, Dr Ahmad Zabidin Zakaria merangkap Setiausaha Kehormat KKH, kelab itu berusaha melaksanakan yang termampu untuk memenuhi hajat MAIS untuk merapatkan silaturrahim dengan masyarakat terutamanya dengan golongan bukan Islam. Penganjur khusus kempen itu adalah Unit Dakwah Global daripada Bahagian Pembangunan Insan MAIS yang turut memaparkan berbagai aktiviti mereka kepada orang awam di ruang legar PKNS yang sangat sibuk itu. Turut menyertai pameran adalah Pusat Bersalin dan Poliklinik Barakah, sebuah pusat perubatan Muslim tersohor yang terletak di Bandar Puteri, Kelang, Selangor.

Di samping itu, KKH juga telah membuka kaunter rundingan kesihatan di ruang terbuka Stadium Malawati, Shah Alam dari 9 hingga 11 Julai sempena sambutan ulangtahun ke-9 stesen radio Ikim.fm, yang juga bertemakan kempen kesedaran dan berinfak untuk Palestin.

Petugas KKH di situ, Dr Siti Mariam Sheikh Ahmad dan pasukannya sempat beramah mesra dengan ribuan pengunjung sambil memberikan perkhidmatan kaunseling kesihatan percuma kepada para pelawat dan pembeli yang menziarahi pelbagai gerai jualan. Biro HALUAN Palestin turut menganjurkan jualan bahan Palestin sambil memungut derma.

Secara umumnya, Dr Ahmad Zabidin selaku penyelaras di pihak KKH amat berpuashati dengan sambutan yang telah diberikan oleh masyarakat terhadap perkhidmatan percuma yang disediakan oleh KKH itu. Ini termasuk pemeriksaan tekanan darah, tahap gula dalam darah, tahap kandungan kolesterol serta khidmat nasihat daripada relawan doktor dan jururawat KKH termasuk beberapa orang doktor pakar yang menganggotai KKH. Juga turut serta adalah pelajar perubatan daripada UKM dan USIM.