fbpx

KKH Orak Langkah Jangka Panjang

KKH Orak Langkah Jangka Panjang

KKH Orak Langkah Jangka Panjang

BENTONG, 12 Sept 2012 – Kepelbagian dalam perkhidmatan perubatan dan kesihatan akan menjadi teras strategi Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) di jangkamasa panjang dalam menyalurkan kesedaran tentang kebaikan Islam kepada pelbagai masyarakat Muslim dan belum Muslim.

Sasaran jauh KKH meliputi masyarakat yang boleh disantuni seperti anak yatim dan fakir miskin, orang asli, NGO-NGO, persatuan-persatuan perubatan professional dan rawatan, perniagaan perubatan dan kesihatan dan sebagainya. Dakwah berbentuk penawaran kepakaran perubatan dan sains kesihatan ini dilihat sebagai salah suatu kaedah berkesan untuk mempositifkan masyarakat Muslim kepada arah hidup yang lebih terarah berpandukan Al-Quran dan sunnah.

Kerjasama dengan persatuan serta NGO bukan Islam pula dilihat sebagai wasilah yang mampu memadamkan prejudis mereka terhadap agama Islam serta persepsi-persepsi salah yang diteraptubi oleh media masa antarabangsa dan tempatan, dengan harapan mereka akan mendapat gambaran Islam yang sebenarnya. KKH di bawah naungan HALUAN Malaysia sebagai sebuah NGO Islami wajib menggunakan kelebihan yang ada padanya di mana penawaran khidmatnya mampu diterimapakai oleh semua golongan masyarakat tidak mengira bangsa, warna kulit atau agama, berkata Ketua KKH, Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa.

“Kita melihat posisi KKH sangat strategik di segi dakwah massa. Peluang kita untuk mendekati semua lapisan masyarakat sangat-sangat cerah jika kita tahu kaedah yang hikmah untuk mencapai sasaran. Bermakna kita memerlukan ahli-ahli KKH membuka minda serta memberikan komitmen dakwah yang tinggi di samping menawarkan perkhidmatan teras kita sebagai perawat, tidak kira sebagai doktor perubatan atau pergigian, pegawai sains, ahli farmasi, jururawat, teknologis, fizioterapis, optometris, radiologis dan sebagainya. Yang penting, kita kena sasarkan kehidupan ini agar memberikan manfaat kepada manusia supaya kemanusiaan itu mampu dibimbing agar kembali ke jalan Allah SWT,” katanya lagi semasa Seminar Kesihatan dan Hari Keluarga KKH 2012 di Kampung Janda Baik di sini yang diadakan daripada 7-9 September. Hampir 90 peserta menyertai program tiga hari tersebut termasuk pelajar-pelajar perubatan, pergigian dan sains kesihatan bersekutu dari dalam dan luar negara.

Sebagai seorang doktor pakar, Dr Wan Muhaizan juga memberikan inspirasi kepada lapisan muda KKH yang hadir agar meletakkan visi yang tinggi dalam marhalah kehidupan mereka, berusaha untuk mencapai kemahiran dan kelulusan paling tinggi yang boleh agar boleh memimpin masyarakat dengan berkesan. Mereka juga harus membina jatidiri yang kuat agar dapat menahan segala jenis cabaran baik di dalam profesion mahupun kehidupan berkeluarga.

Di dalam pembentangan khas, Dr Mohd Zamrin Dimon selaku Ketua Biro Profesional HALUAN memberikan senario khusus yang mampu dicapai oleh KKH dan kumpulan anak-didiknya iaitu HALUAN Health Sciences (HS2). Beliau telah berkongsi wawasan besar yang harus difikirkan dan diusahakan oleh semua ahli-ahli KKH dan HS2 dalam mendepani masyarakat melalui profesionalisma yang tinggi. Kelak akan terbentuk institusi-institusi besar di bawah KKH yang menerajui perbagai bidang profesional dengan meletakkan dakwah dan tarbiah sebagai tunjang utama operasi mereka. Beliau juga membayangkan bahawa suatu hari nanti KKH dan HALUAN khususnya akan dapat mengembangkan sayap hingga membina hospital berteraskan kebajikan di mana rakyat yang tidak berkemampuan boleh juga memperolehi khidmat pakar-pakar pada kos paling rendah ataupun secara percuma.

“Tidak ada gunanya kita nampak hebat, berpakaian hebat dan hidup berprestij tetapi manfaat yang kita perolehi itu tidak dapat dikongsi bersama oleh masyarakat terutama mereka yang miskin atau kurang berkemampuan,” tambah beliau dalam menghuraikan trend kini di kalangan mereka yang sudah berjaya di peringkat kepakaran perubatan dengan pendapatan yang serba lumayan tetapi tanpa visi ubudiyah lillahi wahdah.