fbpx

KKH Khitan Murid Jalan Kebun

KKH Khitan Murid Jalan Kebun

KKH Khitan Murid Jalan Kebun

khitan-01SHAH ALAM, 2 Dis 2013 – Rasa bangga. Begitulah ungkapan salah seorang murid sekolah rendah yang selamat dikhitankan oleh pasukan doktor daripada Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dalam program berkhitan musim cuti sekolah Masjid An-Naim, Jalan Kebun dekat sini.

Ditanya kenapa beliau merasa bangga, adik Ikhwan Syabil Ahmad Zawawi, 11 tahun, menjawab, “sekarang saya sudah dewasa.” Murid Sekolah Kebangsaan Bukit Kemuning itu nampak tenang setelah selesai dikhitankan walaupun pada awalnya terasa sedikit cemas serta malu di hadapan perawat yang ramai termasuk beberapa orang perawat wanita. KKH membawa sepasukan 15 orang yang terdiri daripada doktor, doktor pelatih, jururawat, pelajar perubatan serta sukarelawan Kelab Kesihatan Remaja (KKR) daripada sekolah angkat HALUAN, Sekolah Menengah Ibn Khaldun.

Turut merasa cemas pada awalnya adalah adik Mohd Adam Mohd Khairil, tujuh tahun, yang bersekolah di sebuah sekolah rendah integrasi di Shah Alam. Namun memandangkan beliau adalah anak sulung daripada tiga beradik, upacara berkhitan tersebut terpaksa beliau gagahi demi memberikan contoh kepada adik-adiknya yang lain. “Mula-mula terasa sakit semasa disuntik. Tetapi selepas kebas, perasaan takut saya pun makin hilang menanti saat tamatnya saja. Saya gembira kerana sekarang saya sudah besar,” katanya dengan tenang. Ditanya apa cita-citanya, Ikhwan berkata ingin menjadi seorang imam.

Bagi ibubapa pula, rasa cemas juga terukir di wajah mereka semasa menemani anak di hujung kepala mereka semasa proses berkhitan berlangsung. Ada seorang bapa terus menerus menemani anaknya membaca pelbagai ayat-ayat Quran yang lazim dari mula suntikan hinggalah selesai jahitan terakhir.

Bagi Encik Hamdan Hairuman dan isterinya Puan Sharifah Kaliwan pula, upacara berkhitan kali ini agak istimewa. Ahli kariah Jalan Kebun itu menemani anak lelaki terakhir mereka, Mohd Hanis Naim, lapan tahun, yang merupakan anak keempat daripada lima beradik. “Abangnya dahulu kami sunatkan di klinik swasta saja. Tetapi memandangkan kami berkariah dengan penduduk di sini, kami mengambil keputusan untuk bersama-sama menyertai program bersunat beramai-ramai kali ini,” kata ayahnya.

Betapa tidak semangat yang ditunjukkan oleh ibubapa yang sama-sama menanti giliran anak-anak mereka dengan penuh sabar. Ini adalah sebahagian daripada komitmen yang telah diberikan oleh kepimpinan Masjid An-Naim yang diterajui oleh Nazirnya Cikgu Shamsudin Shaari yang banyak memberikan motivasi dan kerjasama kepada penduduk setempat untuk mengimarahkan masjid berkenaan yang pernah pada beberapa tahun lepas memenangi pertandingan masjid contoh di Selangor.

“Ini adalah projek kami kali ketiga dengan NGO bernama HALUAN ini yang mana pihak mereka memberikan kerjasama kepakaran perubatan dan rawatan untuk anak-anak ahli kariah kami. Mereka juga pernah membuat program ini bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung kami dahulu. Kali ini, seramai 17 peserta telah mendaftar,” berkata Cikgu Shamsudin. “Mereka rata-rata adalah penduduk di kampung Jalan Kebun ini atau saudara-mara mereka yang berkaitan. Alhamdulillah, sambutan masyarakat kampung ini amat menggalakkan”.

Peserta telah bermula dengan bermandi air kolam yang sejuk sebelum upacara berkhitan untuk menenangkan jiwa anak muda yang sedang cemas. Di samping itu, mereka dihadiahkan dengan bunga telur serta wang saguhati RM15 seorang sebaik selesai proses bersunat demi menceriakan mereka. Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Kampung Encik Solehan Tahir sebaik selesai upacara memandi.

“Sebagai Nazir masjid ini, saya amat berterima kasih kepada ahli-ahli kariah yang memberikan kerjasama mereka pada upacara bersunat tahun ini. Kami berharap untuk menjadikannya upacara tahunan kami. Tidak lupa juga terima kasih kami yang tidak terhingga kepada semua relawan HALUAN yang tanpa mereka program ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya,” berkata Cikgu Shamsudin.

Menurut Koordinator KKH, Dr Wan Zalillah Izzudin, projek khitan ini adalah sebahagian daripada sumbangan bakti KKH kepada masyarakat selain pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah kesihatan, bantuan misi kemanusiaan dan bencana, dan rawatan-rawatan khusus yang sering dilaksanakan di kawasan-kawasan pendalaman di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Beliau yang juga merupakan doktor dan pengurus besar Poliklinik Barakah dan Pusat Bersalin Barakah di Taman Bandar Puteri, Kelang telah membawa tiga orang jururawat terlatih bersama peralatan serta ubat-ubatan untuk menjayakan projek berkenaan.

KKH sentiasa berusaha memberikan sebaik khidmat secara percuma kepada golongan yang terpinggir di Malaysia mahupun serata dunia semasa aman ataupun bencana. Untuk membantu mereka, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghulurkan derma ikhlas melalui akaun Kelab Kesihatan Haluan di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) nombor 1-203–80100–65-494.


Laporan oleh Unit Media, Kelab Kesihatan HALUAN.