fbpx

KKH Hargai Kerjasama Syarikat GE

KKH Hargai Kerjasama Syarikat GE

KKH Hargai Kerjasama Syarikat GE

BANGI, SELANGOR Mei 15, 2012 – Kerjasama erat mula terjalin dalam menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan perkhidmatan kesihatan percuma yang sering ditawarkan oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH). Ini perkembangan yang boleh dibanggakan.

Penglibatan syarikat-syarikat swasta secara bergandingan dengan KKH yang semakin meningkat ini menandakan bahawa dunia korporat semakin merasakan peri pentingnya mereka berkerjasama dengan NGO seperti KKH sebagai salah satu wasilah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka. Salah satu contoh terbaru adalah kerjasama di antara pembekal mesin ultrasound mudahalih jenama GE dalam meminjamkan mesin berharga RM70,000 untuk kegunaan pemeriksaan kesihatan percuma semasa program Mahrajan Tsaqafi atau perayaan ilmu di Sekolah Menengah Ibn Khaldun, Jalan Kebun di Shah Alam pada bulan April lepas.

“Kesudian syarikat Diagnostica Marketing Sdn Bhd, selaku pengedar mesin-mesin canggih kesihatan seperti ultrasound GE untuk bekerjasama dengan KKH menandakan bahawa perkhidmatan pemeriksaan kesihatan serta misi-misi bantuan kemanusiaan kita selama ini semakin mendapat perhatian pihak korporat. Mereka juga ingin berbakti walaupun kita yang turun padang membantu mangsa dan masyarakat semasa kesusahan. Saya rasa gandingan ini sangat bermanfaat kepada kedua-dua pihak, di samping GE dapat melunaskan CSR mereka kepada rakyat Malaysia. Ini suatu formula win-win untuk semua pihak yang teribat,” ujar Ketua KKH, Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa ketika ditemubual oleh MediaHALUAN.

Mesin ultrasound GE model LOGIQ e-series itu dipinjamkan oleh Diagnostica secara percuma untuk kegunaan seorang pakar Radiologi ahli KKH dalam menawarkan perkhidmatan imbasan ultrasound berbayar minima untuk para pengunjung program Mahrajan tersebut. Berpuluh pelawat mengambil kesempatan mendapatkan rawatan pakar pada kadar yang sangat murah itu. Bersama itu, KKH juga telah menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan asas seperti kandungan gula dalam darah serta keseimbangan indeks berat badan (BMI).

Pengurus Daerah Diagnostica, Encik Amidi Tan Abdullah melahirkan kepuasan beliau dapat berkerjasama dengan KKH di dalam projek tersebut. Beliau menghargai penghormatan yang diberikan oleh KKH dalam menjemput syarikatnya untuk menabur bakti walaupun terdapat berbelas lagi syarikat pembekal mesin ultrasound lain yang aktif di dalam pasaran. Beliau juga melahirkan hasrat untuk terus berkerjasama dengan KKH untuk projek seumpama ini di masa depan.

Projek pemeriksaan kesihatan semasa Mahrajan Tsaqafi itu diketuai oleh Dr Azian Hasnan, dibantu oleh beberapa orang doktor berpengalaman lain dengan kerjasama Kelab Kesihatan Remaja (KKR) sekolah berkenaan.