fbpx

KKH Bantu Bakal Doktor Hadapi Peperiksaan Akhir

KKH Bantu Bakal Doktor Hadapi Peperiksaan Akhir

KKH Bantu Bakal Doktor Hadapi Peperiksaan Akhir

2 Jun 2013 – Berhadapan dengan peperiksaan di tahun akhir lazimnya membawa tekanan dan debaran kepada para pelajar. Persiapan awal dan ulangkaji secara berkumpulan di saat akhir akan dapat meredakan perasaan gementar dan membantu mereka membuat persiapan dengan lebih yakin.

Sebagai langkah membantu para pelajar dari kalangan ahli-ahli Health Sciences (HS2) membuat persiapan menghadapi peperiksaan terakhir sebelum menjadi doktor, Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telah menganjurkan satu program ulangkaji khas melibatkan beberapa orang pensyarah perubatan dan doktor-doktor pakar. Seramai 19 orang pelajar perubatan tahun akhir dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) telah menyertai program tersebut.

Menurut koordinator program yang juga merupakan Ketua Biro Profesional HALUAN, Prof Dr Mohd Zamrin Dimon, inisiatif KKH yang dijalankan pada setiap tahun ini adalah bertujuan untuk melatih dan mempersiapkan bakal-bakal doktor muda supaya dapat menduduki peperiksaan dan viva dengan cemerlang.

Seorang peserta dari USIM, Nurshafira Kamarulzaman berkata beliau selalu merasa gusar kerana terlalu banyak persiapan yang harus dibuat. Namun, setelah mengikuti program ulangkaji ini beliau begitu optimis untuk melepasi rintangan akhir nanti dengan cemerlang. “Banyak tips yang kami perolehi. Doktor-doktor senior memberi tips dan menyedarkan tentang perkara-perkara asas seperti keikhlasan, ciri-ciri perawat Muslim serta pergantungan yang teguh kepada Allah SWT,” jelas beliau.


Manakala seorang lagi pelajar USIM, Lukman Nulhakim Mohd Noor, menegaskan beliau tidak berfikir panjang untuk bersama rakan-rakan HS2 menyertai progam ini kerana inilah satu-satunya peluang untuk memecut di saat akhir.

“Bagi saya, ulangkaji intensif ini adalah sangat bagus kerana ia dapat membantu kami membuat persediaan jiwa yang kuat, di samping bertukar-tukar pendapat dan pengalaman. Kami diberi pendedahan tambahan mengenai cara mempersembah kes klinikal dan teori long case dan short case,” kata Norhanisah Hassan, seorang pelajar UIAM yang bercita-cita menjadi seorang pakar Obstetrik & Ginekologi (O&G). Pelajar lepasan Darul Quran yang juga seorang hafizah itu berharap program ulangkaji seperti ini turut dapat dikendalikan untuk pelajar perubatan Tahun Empat sebagai persediaan mereka menghadapi peperiksaan profesional perubatan.

Aktiviti tahunan yang dianjurkan oleh KKH ini dijayakan oleh para relawan KKH yang datang dari jauh dan dekat demi mempersiapkan barisan pelapis atau pewaris dalam bidang perubatan dan kesihatan. Ketua KKH, Dr Wan Muhaizan Wan Mustafa menjelaskan, “para pelajar diasuh melalui sistem bengkel dan pembentangan, perbincangan dan beberapa kaedah lain bagi memudahkan mereka menjawab peperiksaan.” Di antara topik yang diketengahkan termasuklah bidang pembedahan, perubatan am, psikaitri, rawatan jantung dan paru-paru, otopedik, radiologi, pediatrik, obstetrik & ginekologi, serta oftalmologi.

Usaha ini akan diteruskan pada setiap tahun. KKH juga aktif membantu biro-biro lain dalam HALUAN bagi melaksanakan kewajipan mereka kepada masyarakat yang memerlukan samada dalam misi bantuan kemanusiaan, program dakwah, khidmat masyarakat dan juga bantuan untuk rakyat Palestin.


Laporan oleh Unit IPT, Kelab Kesihatan HALUAN.