fbpx

KHF Negeri Sembilan Rapati Jurang Dakwah

KHF Negeri Sembilan Rapati Jurang Dakwah

KHF Negeri Sembilan Rapati Jurang Dakwah

khf-01SEREMBAN, 31 Okt 2014 – Perapian terhadap usaha dakwah yang dilaksanakan pelbagai NGO di Negeri Sembilan perlu diselaraskan untuk menguntungkan Islam di segi penetrasi ke dalam kelompok masyarakat Muslim dan belum Muslim secara lebih berkesan.

Justeru itu, Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan (JAINS) telah berusaha mengembeling kerjasama pelbagai NGO dengan memanggil hampir 20 buah NGO di negeri ini untuk sama-sama bermuzakarah mencari titik persamaan untuk bersinergi dalam melaksanakan program dakwah mereka masing-masing. HALUAN Negeri Sembilan telah diwakili dalam mesyuarat tersebut oleh Kelab HALUAN Fitrah (KHF) yang mendepani cabaran mendidik masyarakat non-Muslims serta para mualaf mengenai Islam dengan perspektif yang betul menurut aliran Ahlul Sunnah wal-Jamaah.

Dalam ucapan aluan beliau, Pengarah JAINS, Ustaz Selamat Paigo berkata JAINS berhasrat agar syiar Islam di negeri berkenaan berjalan secara teratur dan positif di kacamata semua pihak.

“Kita harus berkerjasama untuk menjayakan Islam di negeri ini. Jangan kita bertembung, bergaduh, berebut atau bersaing tetapi yang perlu adalah untuk kita berkerjasama terutama dalam menarik minat kumpulan belum Islam supaya tertarik dengan kebenaran Deen ini. Di mana ada kelompongan, kita harus membantu rakan NGO kita itu untuk mengisinya sebaik cara supaya akhirnya Islam itu tidak tercemar dek kelalaian dan kelemahan kita. Jangan Islam itu dinista kerana kita mementingkan diri kita sendiri,” ujar beliau dalam ucapannya.

Ustaz Selamat disertai oleh Ustaz Ahmad Husaini Mustafa selaku Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAINS semasa majlis dialog berkenaan di mana NGO terbabit diminta memberikan perspektif dan pandangan mereka masing-masing.

Menurut Ketua KHF Negeri Sembilan, Encik Noorazmi Ahmad Khairiry, usaha JAINS berkenaan paling bertepatan di masa kini demi memperkasakan usaha dakwah yang banyak dilaksanakan oleh para NGO secara terpisah. Dengan adanya laporan lengkap yang dipinta oleh JAINS, satu pangkalan data yang lebih menyeluruh dan realistik dapat dihasilkan untuk melihat keberkesaan dakwah yang sekian lama diterajui oleh NGO dan pihak JAINS sendiri.

“Perspektif keluasan dakwah ini perlu kita fahami dan tanpa database yang lengkap, kita tidak mungkin tahu kekuatan dan kelemahan kita serta bagaimana untuk kita bergerak secara efektif. HALUAN menyokong usaha ini kerana kami sendiri mempunyai kekangan di beberapa sudut yang tidak mungkin kami isikan kecuali ada NGO lain yang boleh masuk dan membantu mengikut kesesuaian dan pengalaman mereka,” berkata beliau kepada mediaHALUAN.

Pihak JAINS memberi tempoh masa selama dua minggu kepada NGO-NGO terbabit untuk mengemukakan laporan mereka masing-masing berkenaan fokus mereka atau niche strengths, perancangan dakwah untuk 2015, laporan aktiviti dakwah pada tahun semasa 2014, serta senarai lengkap jawatankuasa NGO berkenaan dengan alamat perhubungan.