Keusahawanan di Usia Muda

Keusahawanan di Usia Muda

Keusahawanan di Usia Muda

Kota Kinabalu Dis 17 –  Pepatah Melayu berkata melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Padanan realiti kini adalah membentuk usahawan biarlah sejak daripada usia muda.


Menurut Prof Madya Dr Mohd Hassan Mohd Osman dari Universiti Teknologi Malaysia, pembudayaan keusahawanan seharusnya dibentuk daripada peringkat awalan pendidikan formal di sekolah rendah hingga menengah. Beliau yang merupakan Dekan Sekolah Perniagaan Antarabangsa, kampus antarabangsa Kuala Lumpur berkata budaya ini perlu mampu meminatkan golongan kanak-kanak dan remaja dan sentiasa disuburkan dengan input-input susulan yang bernas.

Di dalam kertaskerjanya bertajuk Dasar Pembangunan Usahawan Dan Profesional Generasi Pelapis, Dr Mohd Hassan berkata generasi muda memiliki keberanian, ide serta daya pemikiran lebih dinamik berbanding generasi dewasa. Lebih ramai bilionaire dunia hari ini merupakan usahawan-usahawan yang bermula semasa usia mereka masih muda.

Namun keusahawanan muda tidak semudah yang disangka kerana tidak adanya program bimbingan yang tersusun rapi untuk usahawan muda. Kebanyakan usahawan yang berjaya kini adalah hasil bimbingan oleh ibubapa sendiri. Tiadanya model keusahawanan yang sistematik di sekolah-sekolah dan universiti juga menyukarkan keadaan. Usahawan muda sukar memperolehi modal permulaan serta tiada kisah-kisah kejayaan yang dibukukan yang boleh dijadikan ilham dan panduan untuk mereka.

Beliau melahirkan hasrat agar sekolah dan institusi-institusi Islam menggembeling tenaga untuk membudayakan sifat-sifat keusahawanan di kalangan pelajar mereka.

“Saya dapati ramai pelajar-pelajar IPT kita sangat lemah di segi ilmu komunikasi dan menulis – baik laporan mahupun artikel. Ini menjadikan mereka renggang dari dunia perniagaan di luar sana di mana usahawan itu wajib boleh berinteraksi dengan baik dengan orang luar. Akibatnya mereka kurang mampu berhujah, meyakinkan pelabur mahupun mempromosi produknya sendiri walaupun produk itu hebat,” tambah beliau.

Seminar Usahawan, Professional dan Koperasi yang dianjurkan oleh Biro Ekonomi HALUAN di Kompleks Tabung Haji Kota Kinabalu, Sabah dihadiri oleh hampir 100 orang peserta.