fbpx

Ketibaan di Bumi Kenya-Somalia

Ketibaan di Bumi Kenya-Somalia

Ketibaan di Bumi Kenya-Somalia

NAIROBI, KENYA, 21 Okt 2012 – Pasukan Misi Kemanusiaan dan Korban HALUAN bagi Pelarian Somalia berangkat dari Kuala Lumpur pada 2100hrs, 21 Oktober sebelum transit di Doha, dan menyambung penerbangan ke Nairobi. Selepas 14 jam lama penerbangan, pasukan ini akhirnya mendarat di bumi Kenya.

Bayu pagi di Lapangan Terbang Jomo Kenyatta mengimbau kami pada tanahair, namun realiti lapangan terbang dunia ketiga ini cepat mengingatkan kami akan matlamat misi ini bagi pihak penderma-penderma di Malaysia. Nairobi akan menjadi persinggahan pertama kami sebelum bergerak ke Garissa dan kemudian Dadaab di hulu sempadan Kenya-Somalia di mana kem-kem pelarian terletak.

Ketibaan kami di Nairobi telah disambut mesra oleh Sheikh Ya’kub Farah Hassan, pengetua Institut Islam Al-Irfan di Garissa, 374 kilometer dari Nairobi. Seorang anak jati Garissa, Sheikh Ya’kub adalah wakil HALUAN di negara itu yang menyelia pembelian unta dan kambing untuk disembelih menjelang Eidul Adha. Beliau amat gembira berjumpa pasukan HALUAN sekali lagi dan telah berbesar hati untuk menguruskan sumbangan korban rakyat Malaysia yang pemurah, semuanya berjumlah 699 bahagian korban, dengan disaksikan sendiri oleh HALUAN. Kerjasama di antara HALUAN dan institut Islam tempatan ini bermula pada tahun 2011 di mana mereka memudahcarakan korban 1,701 kambing dan 45 unta yang diedarkan kepada hampir 700,000 pelarian di kem pelarian Dadaab timur laut Kenya. Sebagai NGO tunggal dari Malaysia berbakti di wilayah Garissa setakat ini, kehadiran pasukan kami untuk menyalurkan sumbangan korban oleh rakyat Malaysia yang prihatin sangat mereka hargai.

Saya menulis berita ini sementara menunggu waktu zuhur di Isli, sebuah daerah kecil dalam Nairobi yang digelar oleh penduduk tempatan sebagai ‘Mogadishu Kecil’. Kebanyakan penduduk di sini adalah berketurunan Somalia, sesuai dengan gelarannya. Kami sempat melihat kelibat sebuah dugsi semasa bergerak dari lapangan terbang, walaupun saya terpaksa mengakui bahawa pada mulanya saya menyangkakan ianya adalah sebuah bengkel usang. Dugsi, walaupun kekurangan penampilan estetikanya, terus mendapat tempat untuk mendidik generasi muda Somalia dengan mengukuhkan pengetahuan al-Quran dan hadis mereka. Ini adalah warisan berzaman walaupun sudah lama warga ini ditinggalkan penjajah dan berlanjutannya pertikaian puak untuk merebut kekuasaan.

Di Isli, pasukan ini telah disertai oleh Encik Ahmadnadhir Omar, Ketua kepada sebuah NGO bernama Inisiatif Pengupayaan Utara Kenya (NKEI), yang berhasrat untuk memperkasakan umat Islam Kenya dan Somalia dalam bidang pendidikan dan keupayaan kendiri. Berpusat di bandar Garissa kira-kira tiga jam perjalanan dari Nairobi, pemimpin muda yang bercita-cita tinggi ini bersama Sheikh Ya’kub telah terlibat di dalam rundingan kami untuk pembelian ternakan daripada penternak tempatan. Beliau juga akan gandingi HALUAN dalam mengagihkan bahagian korban kepada golongan yang memerlukan di dalam dan sekitar Dadaab dan Garissa.

Hari pertama kami di Kenya berakhir dengan semangat yang tinggi. Kami akan berusaha untuk terus memberikan anda laporan terkini dari masa ke semasa.


Laporan oleh Bro. Irwan Effendi di Nairobi, Kenya.