fbpx

Ketakutan Akan Cair Bila Kita Bertindak

Ketakutan Akan Cair Bila Kita Bertindak

Ketakutan Akan Cair Bila Kita Bertindak

KOTA BHARU, 21 Apr 2017 – Para pendakwah tidak harus takut bila berada di pentas dakwah malah harus berani menyahkan rasa takut yang tidak bertempat.

Untuk itu, mereka perlu dilatih untuk memahami seni pengucapan awam bagi dai’e, menanamkan keyakinan dalam diri untuk berucap dan membuat persediaan awal untuk pengucapan awam sebelum naik ke pentas.

Itu adalah di antara pesanan jurulatih dan master trainer Akademi Sinergi, Dr Razali Maarof kepada ahli-ahli HALUAN Kelantan yang menyertai program Kursus Pengucapan Awam Siri 1 di dewan Sekolah Rendah Islam Al Hilal, Kota Bharu. Kursus berkenaan adalah anjuran HALUAN Kelantan. Kursus ini bertujuan memecahkan benteng diri yang menghalang para peserta daripada menyampaikan risalah Islam secara berkesan.

Dr Razali memulakan program dengan menekankan kepentingan niat yang benar iaitu untuk mendapat keredhaan Allah SWT. “Kita berusaha untuk memampukan diri kita supaya dapat menyampaikan risalah Islam dengan cara yang terbaik, seterusnya Allah SWT jualah yang akan menyelesaikannya dengan rahmatNya.”

“Serulah ke jalan Tuhan mu dengan hikmah dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhan mu, Dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang sesat dan Dialah jua yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” – Surah An Nahl: 12

“Ketakutan akan mencair apabila kita mula bertindak untuk mencapai matlamat kita,” ujar beliau kepada peserta yang pada mulanya nampak malu. Para peserta juga telah didedahkan dengan kaedah-kaedah untuk mendapatkan perhatian dari penonton dengan mensasarkan elemen visual, auditori, ingatan dan hati. Pilihan kata-kata yang memberi kesan juga tidak kurang pentingnya di dalam menyampaikan ceramah.

“…dan katakanlah kepada sesama manusia dengan perkataan yang baik…” – Al Baqarah: 83

Ternyata kursus ini telah mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan di kalangan ahli-ahli HALUAN dengan kehadiran seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang.

Seorang peserta, Puan Nur Aniza Kamaruddin berkata, kursus ini telah memberikan manfaat yang banyak kepadanya untuk menyampaikan dakwah. Bukan sekadar hadir, peserta juga memberi perhatian penuh sepanjang program. Pada sesi praktikal, seramai tiga orang peserta tampil secara sukarela memberikan ceramah pendek sambil dibimbing oleh jurulatih. Ini telah menaikkan semangat mereka bahawa pengucapan awam adalah penting untuk dakwah.


Laporan Mahana Sidik, Biro Latihan HALUAN Kelantan.