fbpx

Kesejahteraan Wanita Demi Kelestarian Keluarga Bahagia

Kesejahteraan Wanita Demi Kelestarian Keluarga Bahagia

Kesejahteraan Wanita Demi Kelestarian Keluarga Bahagia

BANDAR BARU BANGI, 18 Dis 2022 – Konvensyen yang membincangkan isu dan persoalan wanita masa kini berkait kehidupan berumahtangga, berkeluarga dan juga pendidikan anak-anak telah diadakan di sini pada 17 Disember lepas.

Konvensyen Wanita Kebangsaan (KWK) 2022 tersebut dianjurkan oleh Biro HALUANITA, Kluster Wanita dan Pembangunan Keluarga (WPK) HALUAN dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dengan bertemakan “Wanita Sejahtera Keluarga Bahagia”, konvensyen ini bertujuan memberikan kesedaran tentang peranan dan persiapan wanita dalam menghadapi cabaran pasca pandemik COVID-19 demi kesejahteraan tumbesaran dan perkembangan anak-anak. Ia juga untuk membincangkan isu dan cabaran semasa wanita dalam berperanan mendokong suami membina keharmonian dan kelestarian keluarga yang bahagia.

Konvensyen yang dihadiri hampir 500 orang peserta dari seluruh negara tersebut dirasmikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Dakwah JAKIM, Encik Mohamad Kori Jusoh. Sesi forum menampilkan barisan panel yang berwibawa iaitu Pengarah Urusan Sebarkan Bahagia, Ustazah Fatimah Syarha Mohd Noordin; Pakar Perunding Pediatrik, Dr. Intan Nor Chahaya Shukor, dan professor di Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains & Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Azizan Ahmad.

Resolusi Konvensyen Wanita Kebangsaan 2022 telah disampaikan oleh Presiden HALUAN, Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman semasa acara penutup konvensyen sebagai seruan langkah yang harus digerakkan oleh peserta.

Antaranya peserta Konvensyen Wanita Kebangsaan 2022 akan berusaha membina jati diri yang kukuh agar kekal sejahtera dalam mendepani ujian dan cabaran pasca pandemik COVID-19 bagi membina keharmonian dan kelestarian keluarga yang bahagia.  

Konvensyen Wanita Kebangsaan 2022 telah mendapat sambutan baik daripada semua peserta dan mendapat penajaan daripada Telekung Rawdah dan Mokti’s. Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada penaja utama dan semua yang memberi sumbangan secara langsung atau tidak langsung.


Laporan oleh Mardhiyah Marzuki, Jawatankuasa Dokumentasi, Konvensyen Wanita Kebangsaan 2022