
Kesan Serangan Tentera Zionis ke atas Gaza
BANDAR BARU BANGI, 15 Jan 2025 – Selepas 15 bulan melakukan genosid berterusan ke atas penduduk Gaza, rejim Zionis dan mujahidin Palestin mencapai gencatan senjata. Kemusnahan di Gaza amat dahsyat, bukan sahaja ke atas infrastrukur dan ekonomi bahkan lebih mengerikan lagi kesannya kepada kehidupan penduduk Gaza.
Serangan tentera Zionis terhadap Gaza telah berlangsung selama 467 hari, iaitu lebih dari 15 bulan serangan, kematian, kecederaan, pemindahan penduduk, dan kebuluran berterusan setiap hari.
Serangan besar-besaran tentera Zionis bermula pada 7 Oktober 2023, selepas kumpulan mujahidin Gaza melakukan serangan ke atas selatan wilayah Palestin Yang Terjajah (“Israel”). Lebih daripada 1,100 orang terbunuh dalam serangan tersebut, manakala sekitar 240 orang ditawan. Ramai tawanan telah dibebaskan melalui pertukaran banduan pada November 2023 atau terbunuh dalam serangan seterusnya oleh tentera zionis.
Berikut adalah antara kesan besar ke atas penduduk Gaza menurut data dan kajian yang telah diterbitkan oleh Al-Jazeera.
46,707 Rakyat Palestin Terbunuh
Dalam tempoh 15 bulan ini, sekurang-kurangnya 46,707 rakyat Palestin di Gaza telah terbunuh, termasuk sekitar 18,000 kanak-kanak. Statistik ini bermaksud 1 daripada setiap 50 orang telah menjadi korban. Pakar dan kumpulan hak asasi manusia percaya angka sebenar mungkin lebih tinggi.
Walaupun ada kecaman global dan rayuan daripada badan antarabangsa, rejim Zionis terus melakukan hukuman kolektif terhadap Gaza, di mana separuh penduduknya berusia bawah 18 tahun. Banyak keluarga telah dihapuskan sepenuhnya dari daftar penduduk.

Lebih 100,000 Orang Cedera
Sekurang-kurangnya 110,265 orang cedera, bersamaan 1 daripada setiap 20 orang. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), hampir suku daripada mangsa cedera, iaitu 22,500 orang, mengalami kecederaan parah yang memerlukan rawatan pemulihan, tetapi tidak menerima bantuan yang diperlukan.
UNRWA melaporkan setiap hari 10 kanak-kanak kehilangan satu atau kedua-dua kaki, dengan operasi dilakukan tanpa atau hanya sedikit bius akibat sekatan rejim Zionis. Menjelang akhir 2024, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 4,500 amputasi.

Ribuan Masih Terkubur di Bawah Runtuhan
Selain angka korban rasmi, ribuan orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan. Dengan kekurangan alat bantuan, pekerja sukarela dan pasukan Pertahanan Awam Palestin terpaksa menggunakan tangan kosong untuk mencari mangsa. Tiada cara untuk mengetahui berapa ramai yang telah meninggal di bawah runtuhan.
Menurut Pihak Berkuasa Kualiti Alam Sekitar Palestin, dianggarkan 85,000 tan bahan letupan telah dijatuhkan di Gaza. Pakar menjangkakan ia memerlukan lebih daripada satu dekad untuk membersihkan sisa runtuhan yang dianggarkan 42 juta tan oleh Program Pembangunan PBB (UNDP). Di samping itu, terdapat risiko besar bom tidak meletup yang masih tertanam.
Gaza Kelaparan
Menurut Statut Rom yang membentuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), sengaja menyebabkan kebuluran adalah jenayah perang. Laporan Al Jazeera mendapati tentera Zionis secara sistematik menyekat bantuan makanan dan air kepada penduduk Gaza.
Pada bulan Januari, agensi kemanusiaan PBB menyatakan usaha untuk menyediakan bantuan di Gaza berada pada tahap “kritikal”. Bantuan dihadkan, dan pekerja bantuan diserang, menyebabkan penduduk bergantung sepenuhnya pada bantuan luar.

Tiada Tempat Berlindung
Sekurang-kurangnya lapan bayi meninggal akibat hipotermia, kerana rakyat Gaza bergelut untuk bertahan di tempat perlindungan yang tidak sesuai untuk musim sejuk. Hampir 1.9 juta orang kini kehilangan tempat tinggal, dan 80% tinggal di tempat perlindungan sementara yang tidak mencukupi.
Kerajaan Gaza melaporkan 110,000 khemah yang digunakan tidak lagi sesuai dan hampir setengah juta orang tinggal di kawasan yang berisiko banjir.

Mengapa Kita Perlu Membantu Gaza Segera?
Situasi di Gaza bukan sahaja meragut nyawa tetapi juga melumpuhkan kehidupan sebahagian besar penduduk. Bantuan segera dan tekanan antarabangsa diperlukan untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan ini, lebih-lebih lagi dengan ketibaan musim sejuk.
Hampir 1.9 juta orang kehilangan tempat tinggal, dengan sebahagian besar tinggal di khemah yang usang. Kanak-kanak dan bayi terdedah kepada kematian akibat kebuluran dan keadaan cuaca melampau. Ribuan mangsa yang tercedera memerlukan rawatan jangka panjang yang tidak tersedia. Sedangkan Gaza masih lagi mengalami sekatan bantuan makanan, air, dan perubatan yang sistematik.
Separuh daripada populasi Gaza adalah kanak-kanak di bawah 18 tahun. Mereka adalah harapan masa depan, tetapi mereka menghadapi trauma, kekurangan pendidikan, dan kehilangan tempat tinggal.
Bantuan kepada Gaza adalah bukan sahaja untuk menyelamatkan nyawa, tetapi juga untuk menyampaikan mesej solidariti dan keprihatinan global. Membiarkan krisis ini berlanjutan tanpa bantuan adalah pelanggaran terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Dengan menyumbang kepada bantuan kemanusiaan, memberi tekanan kepada pemimpin dunia, dan menyebarkan kesedaran, kita semua boleh memainkan peranan penting untuk meringankan penderitaan rakyat Gaza.
Laporan Bahagian Media
HALUAN Malaysia