fbpx

Kerjasama HALUAN dan Sabasun Hyperuncit Baikpulih Khemah Pelarian Rohingya

Kerjasama HALUAN dan Sabasun Hyperuncit Baikpulih Khemah Pelarian Rohingya

Kerjasama HALUAN dan Sabasun Hyperuncit Baikpulih Khemah Pelarian Rohingya

BANDAR BARU BANGI, 7 Jun 2018  – Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd, sebuah hyperruncit di Kuala Terengganu, telah menyumbang sebanyak RM20,000 untuk projek kebajikan etnik Rohingya.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui kerjasama HALUAN dalam projek membina semula khemah-khemah penginapan pelarian yang sudah usang serta membina sebuah pusat pengajian.

Sehingga bulan April 2018, sumbangan berjumlah RM40,000 telah berjaya dikumpul, di mana  baki keperluan kewangan projek ditampung menerusi dana Tabung Sinar4Rohingya serta sumbangan masyarakat awam.

Dana tersebut telah berjaya digunakan untuk membina semula 50 buah khemah yang lebih kukuh dan berlantaikan simen secara berperingkat. Projek ini menjadi keutamaan kerana lebih 5,000 pelarian yang tinggal dalam khemah-khemah di Kem Balukhali 2 kini berhadapan dengan masalah berikutan musimhujan lebat, lebih-lebih lagi keadaan khemah mereka yang dibina dengan menggunakan plastik nipis dan struktur buluh.

Sebuah pusat pengajian yang dinamakan Rohingya Community Educare Center (RCEC) Balukhali 2, lengkap dengan dua orang guru, juga berjaya ditubuhkan. Ia bakal menyediakan kelas-kelas pengajian Al Qur’an, asas-asas fikah Islam dan bimbingan kepada lebih 50 keluarga pelarian.

Sejak bulan Ogos 2017 apabila bermula penghijrahan besar-besaran, HALUAN bersama beberapa NGO kemanusiaan dari Malaysia telah melaksanakan pelbagai misi bantuan Rohingya di Bangladesh.

Pada bulan Februari lalu, Presiden HALUAN Dr. Abdullah Sudin Ab Rahman beserta Ketua Biro Misi Kemanusiaan dan wakil Biro Kebajkan HALUAN telah berada di kem pelarian Balukhali 2 di Cox’s Bazar untuk menyampaikan bantuan kit kebersihan diri dan benih tanaman kepada pelarian Rohingya di situ. Dalam misi-misi sebelum itu, HALUAN turut membina khemah penginapan, perigi tiub, serta membangun sekolah untuk anak-anak pelarian.

Etnik Rohingya dilabel oleh agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, UNCHR, sebagai masyarakat yang paling tertindas di dunia sejak sekian lama, di mana mereka dizalimi serta dinafikan hak dan keadilan oleh pemerintahan junta tentera Myanmar.

Sehingga akhir Disember, lebih 800,000 pelarian Rohingya terpaksa berhijrah ke lebih 12 kem-kem pelarian di Cox’s Bazar dan Teknaf, di sempadan Bangladesh.

HALUAN mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih khususnya kepada Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd serta orang ramai yang menjayakan projek pembinaan semula khemah ini.


Laporan Encik Mohd Jamil Muda, Setiausaha Biro Misi Kemanusiaan

Jutaan terima kasih pihak HALUAN ucapkan khasnya kepada Sabasun Hyperruncit Sdn Bhd
Khemah Rohingya 1
RCEC telah membimbingan lebih 50 keluarga.
Pusat ini mempunyai dua orang guru yang akan menumpukan kepada pengajian Al Qur’an, asas-asas fiqh Islam
Pusat pengajian yang dinamakan Rohingya Community Educare Center RCEC Balukhali 2