fbpx

Kepada Siapa Harapan Dituju?

Kepada Siapa Harapan Dituju?

Kepada Siapa Harapan Dituju?

Kehidupan yang kita alami pada saat ini merupakan anugerah Allah SWT yang amat besar ertinya kepada kita.

Kehidupan ini tandanya kasih sayang Allah SWT kepada kita dan kita sedang hidup di alam kehidupan ini samada sebagai makhluk hambaNya yang beriman atau kuffur kepadaNya.

Kehidupan ini hilang serinya tanpa diwarnai dengan pelbagai ujian, cabaran dan mehnah. Ujian yang silih berganti ini banyak menimpa kita sebagai cubaan iman bagi orang-orang yang beriman. Ujian itu hadir dalam pelbagai bentuk dan rupa bentuk. Ketika ini, rasa hangat air mata ini kerana rasa bersalah dan berdosa terhadap Allah SWT. Lihat diri kita, lihatlah jasad kita ini, bukankah kita ini hamba yang terlalu kerdil? Bukankah kita ini terlalu hina? Bukankah kita ini terlalu dhaif?

Tetapi kenapa kita terlalu ego? Kenapa kita selalu mengingkari arahanNya. Kenapakah kita ini terlalu angkuh? Sedangkan kita ini tiada apa-apa. Kenapakah kita selalu begini?

Inilah manusia, inilah rupa gaya insan yang berlagak sombong di hadapan Allah SWT. Rakan-rakan sekalian, ketika menulis catatan perkongsian ini saya berada dalam rasa diri ini terlalu banyak salah, banyak dosa kepada Rabbul Alami. Lantas monolog ringkas ini terbit dari sanubari sebagai sesalan yang tiada kesudahan… Ya Allah, terimalah aku kerana aku yakin Harapanku kepadaMu akan subur kembali….

Wahai Tuhanku yang Esa, bila terkenangkan dosaku betapa rasa gerunnya hati ini untuk berhadapan denganMu. HambaMu rasa berputus asa, siapakah yang dapat membersihkan diri dari segala dosa yang memburu setiap hari setiap ketika??

Tika mengenangkan AmpunanMu Ya Allah, putus asa tiada lagi semangat kupulih semula dan harapan ku subur kembali. Harapan ku itu menggunung agar aku menjadi hamba Mu yang taat kepada Mu.

Ujian menimpa menekan jiwa dan aku tak sanggup meneruskan perjuangan ini. Ku harapkan Mehnah Mu sebagai penghapus dosaku. Ya Allah terimalah aku sebagai HambaMu, hamba yang merendahkan diri untuk mendambakan kasih dan cinta Mu.

Wahai Tuhanku yang Esa, bila aku terkenangkan QaharMu rasa gerun dihatiku kerana takutkan seksaanMu.

Diwaktu mengenang RahmatMu, terasa diri ini kurang bersyukur kepadaMu, Aku lalai dengan dunia yang Engkau pinjamkan kepadaku. Aku bermain-main dengan duniaMu sehingga aku lupa akan AkhiratMu.

Alangkah susahnya mendidik nafsu ku sehingga aku tidak dapat melihat kebenaranMu, Ya Allah bantulah hambaMu dalam mendidik jiwaku ini. Jangan Engkau biarkan aku dalam kesesatan tanpa bimbinganMu.

Apabila saat kematian tiba tanpa taubat, aku bimbang nasibku di akhirat kelak. Aku terkenang akan dosaku kepada ibu bapaku, sikap aku terhadap adik-adik, rakan-rakan dan paling aku bimbangkan dosaku kepadaMu….

Ya Allah, berilah aku peluang untuk bertaubat kepadaMu, lembutkanlah hati aku yang keras dan hitam ini. Berikanlah rasa kasih dan cintaKu hanya kepadaMu.

Ya Allah, terimalah aku sebagai hambaMu… terimalah kerana aku yakin AmpunanMu sentiasa mengiringi langkahan taubatku ini.