fbpx

KENYATAAN MEDIA: Program Ibadah Korban HALUAN 1435H

KENYATAAN MEDIA: Program Ibadah Korban HALUAN 1435H

KENYATAAN MEDIA: Program Ibadah Korban HALUAN 1435H

UNTUK SIARAN SEGERA
1 OKTOBER 2014

Seperti mana tahun-tahun terdahulu, ibadah korban yang disempurnakan melalui HALUAN Malaysia terus mendapat sambutan hangat di kalangan masyarakat Malaysia. Kini kepercayaan masyarakat kepada HALUAN Malaysia menjadi sebahagian daripada imej dan kesaksian kami dalam melaksanakan amanah yang diberi. Ini merupakan tahun ke 14 program ibadah korban HALUAN dilaksanakan.

Tahun ini kami meneruskan usaha berkongsi rasa dan melebar luaskan manfaat tersurat ibadah korban ke negara-negara lokasi umat Islam yang dilihat sangat memerlukan seperti Somalia, Myanmar, Thailand, Kemboja, Bangladesh, India, Vietnam, Laos, Palestine, Syria dan Jordan. Bagi program ibadah korban di Malaysia, negeri Sabah telah dipilih sebagai lokasi serta beberapa lokasi lainnya di Semenanjung.

Kali ini, sebanyak lapan pasukan pemerhati dan pelaksana HALUAN akan ke destinasi korban di negara-negara yang terlibat bagi memastikan ibadah itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin. India dipilih sebagai lokasi utama apabila Presiden HALUAN, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman akan turut sama ke lapangan bagi menyempurnakan ibadah tersebut. Wakil dari negara terbabit yang telah sedia dikenalpasti dan mempunyai hubungan yang baik dengan HALUAN Malaysia akan melicinkan aturcara ibadah tersebut. Begitu juga dengan destinasi-destinasi lain yang sudah dikepalpasti. Impak kerjasama dalam melaksanakan ibadah korban ini diterjemahkan secara kolektif merujuk kepada hubungan baik di antara Malaysia dan negara yang terpilih.

Ribuan kemaafan kami panjatkan kepada peserta yang ingin bersama dalam ibadah korban kali ini selepas daripada tarikh tutup, meskipun kami telah menambah sehari lagi untuk tujuan itu. Kepada peserta yang berjaya mendaftar, amanah tuan-tuan dan puan-puan akan kami laksanakan dengan penuh tanggungjawab. Sepertimana biasa, kami akan kirimkan sijil dan gambar-gambar berkaitan untuk simpanan anda yang telah mendaftar dengan HALUAN kali ini.

Sekali lagi, HALUAN Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Malaysia dalam menyempurnakan ibadah ini. Kami akan terus komited untuk bersama-sama rakyat Malaysia dalam menyemarakkan usaha kebajikan dan persaudaraan sejagat.

HALUAN – Berakhlak, Mendidik, Berbakti.