fbpx

Kenyataan Media HALUAN Terhadap Kenyataan Sisters In Islam

Kenyataan Media HALUAN Terhadap Kenyataan Sisters In Islam

Kenyataan Media HALUAN Terhadap Kenyataan Sisters In Islam

Kenyataan Media

Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) amat kesal dengan kenyataan yang telah dibuat oleh pertubuhan Sisters In Islam (SIS) dalam The Malaysian Insider bertarikh 9 November 2012.

Kenyataan yang di buat bahawa, ‘Faith by compulsion may lead to hypocrisy‘ dan ‘Islam is not a one-way street’ membawa maksud bahawa orang yang sudah beragama Islam juga mempunyai kebebasan memilih agama lain selain daripada Islam, adalah kenyataan yang lahir daripada tidak memahami dengan jelas mengenai konsep kebebasan beragama dalam Islam.

Kami amat kesal kenyataan yang dikeluarkan oleh sebuah organisasi yang menggunakan nama “Islam” pada tubuhnya ini sebenarnya akan lebih mengelirukan orang ramai terutama mereka yang bukan Islam mengenai konsep tauhid di dalam agama Islam. Kami dapati kenyataan SIS dalam percubaannya untuk mengintepretasikan istilah ‘tidak ada paksaan dalam memasuki ugama’ telah mengelirukan lebih ramai pihak disebabkan kejahilan mereka di dalam bidang yang tidak mereka sendiri fahami iaitu Deen Islam. , Kenyataan berkenaan amat tidak bertanggungjawab, mencemarkan kesucian agama Islam, menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam sendiri serta cuba mewujudkan keadaan yang tidak stabil di dalam masyarakat yang berbliang kaum dan agama di Malaysia.

Isu berkaitan agama Islam bukanlah isu yang remeh-temeh yang boleh diintepretasi dengan pemikiran logika semata-mata kerana ia berkaitan dengan aqidah ahlul sunnah wal-jamaah; bukan diinterpretasikan oleh golongan cendekiawan ataupun aktivis sosial yang tidak memahami selok-belok peradaban dan hukum-hakam keagamaan para penganut agama Islam itu sendiri. Perkara ini tidakboleh di ambil mudah.

Bagi sesiapa yang telah memilih Islam sebagai ad-deen (cara hidup) dengan faham dan sedar, bermakna mereka telah membuat pilihan untuk mengikuti dan mematuhi hukum-hukum dan peraturan-peraturan yang terdapat di dalam Al-Quran dan Hadith. Ini bermakna, mereka telah memilih kebebasan untuk diri mereka berada di bawah naungan Allah SWT dan membebaskan diri daripada menjadi hamba kepada hawa nafsu dan syaitan. Dengan pilihan ini, mereka ini akan merasai nikmat dalam mematuhi dan melaksanakan hukum dan peraturan Islam dalam kehidupan seharian mereka, berdasarkan agama yang mereka telah pilih untuk diri mereka sendiri dengan sedar dan mendeklarasikannya dengan lafaz syahadah.

Bagi mereka yang telah merasai nikmat Islam, tidak mungkin terlintas di dalam hati dan fikiran mereka untuk keluar (murtad) daripada deen kebenaran ini. Inilah konsep kebebasan di dalam Islam. Kebebasan ini terbentuk bilamana seseorang itu memilih cara hidup dan pegangan beraqidah di mana dahulunya dia samada seorang kafir (non-Muslim) ataupun tanpa agama kepada suatu kebebasan baru untuk hidup dalam suatu agama yang ada sistemnya yang suci, teratur dan berpanduan. Inilah hakikat kebebasan yang dituntut oleh Islam; bukan bebas untuk keluar-masuk ke dalam agama Islam seperti masuk ke panggung wayang sahaja.

Islam adalah suatu deen (cara hidup atau complete code or way of life) yang mana seseorang yang memilih untuk memasukinya hanya ada satu hala (one-way street) iaitu boleh masuk, tidak boleh keluar. Ini berdasarkan ajaran Islam bahawa setiap orang yang ingin memeluk agama ini harus terlebih dahulu sedar tentang kesyumulan Islam itu sendiri dan membuat keputusan kataputus memelukinya tanpa was-was lagi.

Di sebaliknya, bagi mereka yang belum Islam, mereka bebas membuat pilihan samada ingin menerima Islam atau memilih selain daripada agama Islam sebagai pegangan hidup masing-masing. Tidak ada paksaan ke atas golongan seperti ini kerana mereka belumpun memeluk agama Islam. Mereka ada hak memilih dan kekal di dalam apa yang mereka pilih sebagai agama mereka, sehinggalah mereka mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam di mana pilihan itu harus qat’ie (jelas keputusannya untuk hingga ke akhir hayat) dan mereka tidak boleh lagi keluar daripada Islam selepas membuat keputusan tersebut.

Pilihan itu mempunyai implikasi yang berbeza di dunia dan di akhirat. Bagi mereka yang memilih Islam, mereka akan merasai kebahagiaan hidup di dunia berupa ketenangan dan kedamaian di samping ganjaran syurga di hari akhirat sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah SWT. Analogi yang sama boleh di gunakan kepada seseorang yang sedang mencari pekerjaan; ia bebas memilih apa jenis pekerjaan yang ia mahu, tetapi setelah ia membuat pilihan kerjaya sebagai seorang tentera misalnya, ia terikat dengan kerjaya tentera dan mesti menuruti latihan dan disiplin sebagai seorang anggota tentera, bukan mengikut cara seorang penjual ikan ataupun guru sekolah. Ketika ia membuat keputusan memilih kerjaya sebagai anggota tentera, individu tersebut telah mengorbankan kebebasannya dalam memilih pekerjaan dan perlu memberi kepatuhan dan ketaatan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota tentera. Ia akan menerima akibat dan hukuman jika melanggar peraturan dan disiplin sebagai seorang tentera.

Oleh kerana itu, tidak timbul soal paksaan dalam Islam. Bahkan Islam tidak pernah memaksa orang bukan Islam untuk menerima dan mengambil Islam sebagai cara hidup mereka. Dalam sejarah perkembangan Islam ke seluruh dunia, ianya di laksanakan melalui dakwah dan khudwah (contoh tauladan) yang di perlihatkan oleh tentera, pedagang dan pendakwah Islam, bukan melalui mata pedang dan paksaan sebagaimana yang di war-warkan oleh orientalis dan kuncu-kuncu mereka. Ini-lah mafhum yang termaktub dalam Surah al Baqarah ayat 256, bermaksud:

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam), sesungguhnya telah jelas jalan yang benar dari jalan yang sesat. Kerana itu barangsiapa yang ingkar kepada thoghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” .

Perlembagaan Malaysia memperuntukkan dalam Perkara 11(1) berkait dengan kebebasan beragama dengan menyatakan bahawa “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4),mengembangkannya.” Peruntukan ini juga tertakluk kepada peruntukan-peruntukan lain seperti Perkara 11 (2), (3), (4) dan (5) yang mana telah di tentukan batas-batasnya.

Secara umumnya, peruntukkan dalam perlembagaan ini tidak bercanggah dengan kehendak Islam. Walau bagaimanapun peruntukan ini tidak boleh ditafsirkan dan digunakan secara semberono, rambang dan sebebas-bebasnya kepada orang Islam kerana mereka mempunyai peraturan dan undang-undang yang menjadi pegangan dan ikutan sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Apa-apa peraturan yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah dengan sendirinya tertolak.

Adalah di luar konteks ugama Islam apabila SIS menafsirkan bahawa orang Islam bebas untuk murtad berasaskan kepada ‘konsep kebebasan’ yang termaktub di dalam perlembagaan, sedangkan Islam sama sekali tidak membenarkan umatnya keluar daripada Islam. Sebab itu ia telah menentukan hukuman tertentu kepada mereka yang murtad, bahkan Saidina Abu Bakar r.a. telah mengistiharkan perang terhadap Muslim yang murtad.

Isu murtad menjadi fenomena umum pada hari ini berpunca daripada umat Islam sendiri tidak memahami dan menerima Islam melalui proses kefahaman, kesedaran dan keyakinan yang betul sehingga ada di kalangan orang Islam sendiri tidak merasa Islam itu sebagai satu nikmat yang besar daripada Allah SWT untuk umat manusia, umumnya kerana mereka inginkan kehidupan yang bebas tanpa batasan baik di segi melayani hawa nafsu mahupun di dalam merangkul sebanyak mungkin pengaruh, kuasa ataupun kekayaan duniawi.

Sistem pendidikan yang dilalui oleh generasi Islam kini tidak mampu melahirkan individu muslim yang merasai bahawa Allah SWT telah mengurniakan kepada kita sebesar-besar nikmat, iaitu nikmat Islam, nikmat hidayah di atas jalan yang lurus berpedoman. Mereka gagal menyedari bahawa tidak ada suatu agama lain di dunia ini selain Islam yang mempunyai kitab rujukan yang sahih dan relevan sepanjang zaman serta etika dan hukum-hakam resam kehidupan daripada sekecil-kecil masalah sehinggalah ke sebesar-besarnya untuk membantu dan mendorong manusia agar hidup berharmoni, selamat, sejahtera dan jauh daripada segala persengketaan dan penyakit.

Akhir nya kami dari Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) menuntut agar:

a. Sisters In Islam (SIS) menghentikan kenyataan-kenyataan tanpa kefahaman asas Islami seperti ini dimasa akan datang walau dalam apa juga bentuknya.

b. Sisters In Islam (SIS) mestiah memohon maaf kepada umat Islam seluruhnya di atas kenyataan yang mengelirukan ini.

c. Menggesa pihak yang berkuasa dalam bidang ugama agar mengambil tindakan sewajarnya di atas kenyataan ini dan juga kenyataan lain yang seumpama-nya seterusnya menghalang daripada perkara seperti ini berulang.

d. HALUAN menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar bersatu demi memerangi gejala-gejala pemesongan aqidah, kefahaman dan keyakinan umat seperti ini bahkan seterusnya berganding bahu demi memartabatkan Islam sebagai sistem hidup di bumi Malaysia. Insya Allah.