fbpx

Kenapa Muslim Lemah di Media?

Kenapa Muslim Lemah di Media?

Kenapa Muslim Lemah di Media?

BANDAR BARU BANGI, 24 Jan 2021 – Perkembangan teknologi media dewasa ini bukan lagi hanya pada cetakan, televisyen dan radio sahaja. Malah ianya jauh lebih besar dan jangkauannya sampai ke seluruh pelusuk dunia dengan adanya internet dan pelantar media sosial yang pelbagai seperti akhbar digital, Youtube, Facebook, Instagram, Twitter dan lain-lain sebagai medan penyampaian sesuatu berita dan maklumat.

Inilah yang didefinisikan dengan evolusi media, berkata panel jemputan, Presiden kepada Multiracial Reverted Muslims (MRM), Encik Firdaus Wong Wai Hung menerusi program Murobbi 50 (Fifty) anjuran Biro HALUAN Fitrah yang diadakan secara langsung di TV HALUAN semalam.

Menurut beliau, sasaran kepada evolusi media adalah bagi tujuan mempercepatkan penyebaran sesuatu maklumat dan mendapatkan penjanaan kewangan melalui iklan.

Penyebaran maklumat yang benar seharusnya bersifat objektif. Namun, apabila penyebaran maklumat ini berlaku di media sosial, kebenaran ini telah bertukar menjadi subjektif kerana paradigma setiap manusia berbeza-beza bagi setiap isu dan perkara.

“Contohnya, isu LGBT. Pada pandangan Muslim, ia adalah perkara yang salah, batil dan kemungkaran. Namun, menurut Facebook golongan LGBT ini mempunyai hak mereka sendiri sehingga mereka mampu untuk menyebarkan maklumat yang batil ini. Oleh itu, dalam menilai sesuatu berita, seorang Muslim hendaklah berbalik semula kepada rujukan utama kita iaitu Al-Quran dan Sunnah agar tidak terpengaruh dengan kepelbagaiaan maklumat yang tersebar di media. Selari dengan Surah Ali Imran, ayat 19; Allah berfirman bahawa agama di sisi Allah adalah Islam,” tegas beliau.

Tambah beliau lagi, dalam penyampaian mesej dakwah, Syeikh Ahmad Deedat merupakan antara pelopor kepada penggunaan media sebagai medium menyebarkan ajaran agama Islam sehinggakan ramai manusia tertarik dan akhirnya memeluk Islam. Namun, dunia hari ini ratanya menganggap media Muslim adalah lemah, lesu kerana negara Barat telah menguasai bidang ini dan kita sangat bergantung kepada mereka. Walau bagaimanapun, perkara ini disanggah oleh Bro Firdaus. Katanya, media Muslim tidaklah terlalu lesu dan lemah. Namun, silapnya adalah Muslim terlalu takut dengan perspektif masyarakat luar seperti takut dikecam, dicaci apabila mempertahankan Islam.

Selain itu, ada juga Muslim menggunakan platform media dengan cara yang salah dalam menyampaikan mesej Islam. Suara umat Islam juga tidak dibesarkan oleh media Barat sehingga Muslim dianggap tidak memperjuangkan isu agama dengan bersungguh-sungguh.

Kesimpulannya, perlulah ada satu lonjakan kesedaran dan kemahuan dalam setiap diri Muslim untuk memanfaatkan sebaik mungkin media bagi tujuan penyebaran ajaran Allah. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah membuat pos (posting) berkenaan Islam dan ia mestilah memenuhi konsep amar makruf nahi mungkar. Seterusnya, sokonglah mana-mana NGO Islam yang menggunakan media sebagai salah satu platform dakwah mereka agar lebih banyak manfaat dapat disampaikan dan akhirnya dapat meneutralkan imej negatif terhadap Islam dalam kalangan masyarakat sedunia.

Ikuti rakaman penuh video wawancara bertajuk ‘Kenapa Muslim Lemah di Media’ ini di pautan berikut:


Laporan Adlina binti Selamat, Setiausaha Biro HALUAN Fitrah