fbpx

KENAL 2012 Menguja Peserta Dengan Kebesaran Allah

KENAL 2012 Menguja Peserta Dengan Kebesaran Allah

KENAL 2012 Menguja Peserta Dengan Kebesaran Allah

KUANTAN, 17 Mac 2012 — Biro Pengajian Tinggi HALUAN Cawangan Pahang buat julung kalinya telah mengadakan program Rehlah Kenali Alam (KENAL 2012) di Hutan Lipur Bekelah, Gambang dekat sini.

Program yang bertemakan “Kenal Alam Untuk Kenal Ilahi” ini antara lain bertujuan untuk memupuk semangat ukhuwah dan mahabbah di antara para pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan ahli HALUAN di sekitar Kuantan. Program ini juga mendidik para peserta untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merasai akan kebesaranNya, melalui penghayatan alam ciptaan Allah yang serba indah dan unik.

Menurut Ketua Penyelaras KENAL 2012, Sdr Jasri b. Mohamad yang juga merupakan seorang Ahli Jawatankuasa HALUAN Cawangan Pahang, seramai 45 orang peserta dari berbagai IPT di sekitar Kuantan telah menyertai program ini.

Jelas sekali para peserta sangat teruja dan berpuashati dengan peluang yang diberikan untuk mengikuti program yang bermanfaat ini. Apa tidaknya, alam semulajadi ciptaan Allah SWT di Hutan Lipur Bekelah telah memaparkan pelbagai jenis flora dan fauna sehingga dapat mententeram jiwa mereka yang melihat. Keindahan ini diserikan lagi dengan kejernihan aliran sungai serta deruan air terjun yang nyaman dan mendamaikan. Para peserta dapat berinteraksi secara langsung dengan alam ciptaan Allah yang hebat ini dan merasakan bahawa di sebalik keindahan alam ini ada Zat Yang Maha Agung dan Maha Berkuasa mencipta dan mentadbirnya.

Beberapa modul turut dijalankan bagi mendidik dan melatih para peserta mengambil setiap yang ada di sekeliling mereka untuk menginsafi kebesaran Allah SWT, antaranya termasuklah modul jelajah hutan, tazkirah, pertandingan, latihan kumpulan, persembahan dan motivasi roh dan minda. Istimewanya, aktiviti-aktiviti bermodul ini telah dibimbing oleh Sdr Azmi Bahari, seorang motivator HALUAN Malaysia yang dijemput khas atas kemahiran beliau memberi sentuhan rabbani yang mampu menggugah perasaan dan jiwa peserta.

Seorang pengajar dari Sekolah Rendah Ibnu Abbas, Kuantan, Sdr Hasmadi ketika ditemui telah melahirkan rasa yang sangat teruja kerana program ini telah dapat menginsafkan diri beliau mengenali Pencipta melalui alam yang terbentang dan merasai kebesaran Allah dan betapa hebatnya Allah. “Inilah kali pertama saya mengikuti program seperti ini. Saya merasa sungguh teruja, bayangkan Allah menciptakan alam untuk manfaat manusia namun ramai manusia yang kufur akan nikmat ini dan tidak menghargai alam yang sentiasa tunduk dan patuh pada Penciptanya, iaitu Allah Rabbil alamin,” kata beliau dengan penuh keinsafan.

Alhamdulillah KENAL 2012 telah berjalan dengan baik dan berjaya mencapai objektifnya berkat kerjasama semua para peserta dan urusetia. Semoga semua mereka yang terlibat dapat membawa pulang seribu satu pengalaman yang penuh dengan pengajaran dan keinsafan.


Disediakan oleh Biro Penerangan dan Media HALUAN Cawangan Pahang